Kerajaan negeri beli, saya naiklah – Sanusi

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

SUNGAI PETANI: “Kalau saya nak beli sendiri pun boleh. Saya ada duit dan kereta itu pun bukannya mahal sangat. Tapi dah kerajaan negeri beli, saya naiklah.”

- Advertisement -

Demikian respons Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkenaan dakwaan pihak tertentu kononnya beliau ‘bergaya’ dengan kereta mewah.

Jelasnya, sejak beliau menjadi Menteri Besar, empat tahun lalu (2020), tiada sebarang pembelian kereta baharu untuknya melainkan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan terdahulu, Mercedes yang dibeli ketika Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak (2012) dan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir (2014).

Katanya lagi, kenderaan yang digunakan sekarang sering mengalami kerosakan, manakala kos pembaikan agak tinggi mencecah hingga RM5,000.

“Tak ekonomik lagi nak gasak dia (Mercedes), kalau tengok perjalanan saya sebagai Menteri Besar, sebulan beribu kilometer. Saya perlu kereta yang agak lasak sedikit,” maklum beliau ketika bercakap pada Majlis Semarak Kasih Ramadan bertempat di Sungai Petani, di sini, kelmarin.

Isu kereta Hyundai Palisade bernombor ‘KCX 8’ yang didakwa berharga hampir RM400,000 kononnya milik menteri besar itu tular di media sosial.

Ada pihak yang mempertikaikan keupayaan beliau membeli kenderaan tersebut sedangkan dalam masa yang sama, 24 kakitangan Kedah Agro Holdings Bhd (KAHB) menghadapi gaji tertunggak malah guru-guru PASTI pun dikaitkan kononnya rela bertaraf sukarelawan bukan pekerja.

Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu menganggap tohmahan berkenaan semuanya datang pihak yang cemburu serta berdendam dengan dirinya.

“Tak perlulah cemburu, tunggu hangpa pula jadi MB esok ni. Beli dan naiklah. Kereta ni bukan isu dah lagi, politik kalau nak main isu kereta, lebih baik pi mengaji tadika.

“Orang tak main dah isu-isu kereta dalam politik sekarang ni. Dunia dah jauh ke depan, hangpa dok kira beli kereta. Pi mengaji di tadika, tok sah dok main dengan aku,” bidasnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/3/2024

- Advertisement -