KAHB bukan terkandung dalam ‘payroll’ kerajaan negeri

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Kedah Agro Holdings Bhd (KAHB) bukanlah antara senarai yang terkandung di dalam payroll kerajaan negeri sebaliknya syarikat berkenaan perlu menjana pendapatan untuk membiayai kos pentadbiran sendiri.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, duit kerajaan tidak boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja syarikat tetapi syarikat dibenarkan untuk membuat permohonan pinjaman daripada kerajaan negeri.

“Duit kerajaan duit orang ramai, duit pembayar cukai, tak boleh guna duit kerajaan bayar gaji orang kerja syarikat, tak kira syarikat apa-apa pun, ini dipanggil tata kelola.

“Belum pernah lagi, sejak ditubuhkan KAHB, kerajaan bayar gaji pekerjanya, semua syarikat yang bayar. Yang boleh dibuat ialah syarikat itu pinjam duit dari kerajaan,” demikian jelasnya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Semarak Kasih Ramadan di sini, kelmarin.

KAHB jelas Sanusi sudah bermasalah sejak 2016 lagi dan pernah menerima teguran Ketua Audit Negara pada 2017 tetapi ketika itu Kedah yang di bawah pemerintahan Umno/Barisan Nasional (BN) menggunakan duit Perbadanan Menteri Besar (MBI) untuk membayar gaji pekerja syarikat terbabit.

Katanya lagi, polisi kerajaan negeri sejak diterajui PERIKATAN NASIONAL (PN) Mei 2020 lalu, mana-mana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak berdaya maju serta gagal menyumbang kepada kerajaan apatah lagi ‘menghisap darah kerajaan’perlu ditutup tetapi KAHB tidak bertindak sedemikian.

“Bila jadi isu, depa hantar memorandum. Baru tau depa tak dapat gaji. Selama ini depa dok buat apa? Kerja work from home sejak bulan Ogos tahun lalu, macam mana nak dapatkan duit. Kedah Agro ini berkaitan pertanian, mana ada orang kerja pertanian dok buat kerja dari rumah.

“Tujuan tubuh GLC, berniaga dapat projek dari kerajaan, dapat untung, pulangkan balik kepada kerajaan, itu tujuannya. Kalau tubuh GLC, 30 orang kerja situ, menyumbang pun tak pernah, asyik kikis hat ‘bapa’ punya lagi, itu bukan GLC tapi lintah. Nak bela lintah? Saya tak mau,” bidas beliau lagi.

Katanya, ada pihak menuduh beliau zalim kepada orang Melayu namun dalam masa yang sama beliau tidak mahu membuat khianat kepada seluruh rakyat Kedah semata-mata untuk membantu 24 kakitangan KAHB tersebut.

Sedangkan ujarnya, syarikat berkenaan yang perlu menjana pendapatan sendiri dan membayar gaji pekerja bukannya menggunakan duit kerajaan negeri untuk tujuan tersebut.

“Saya kata hangpa (KAHB) buat permohonan pinjaman, hantar surat dan kita boleh bincang. Tetapi kalau nak pinjam kena tengok juga bagaimana nak membayar balik. Sebulan berapa yang boleh mereka bayar.

“Lani pakat tular, saya zalim kat orang Melayu dan kat orang miskin. Saya amanah, yang tak boleh buat, tak buat, tak kira sapa, 24 orang tu buat apa sampai tak dak income nak bayaq gaji. Awat hangpa tak tanya. Takkan 24 jam tak leh bincang cari income, last-last hisap darah kerajaan.

“Yang depa dok riuh tu bukanlah nak bela 24 orang tu pun, bukan pasal kesian tapi pasal nak ‘tutuh’ (bahan) Nusi ja. kita akan tolong tapi kena berhutang dengan kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2024

- Advertisement -