Susu khas suami lumpuh tidak mampu dibeli lagi

- Advertisement -

TUMPAT: Seorang surirumah Faridah Abdullah, 55, dari Kampung Telok Ranjuna tabah mengurus suami Zainal Ahbiddin Rahman, 67, yang menghidapi angin ahmar itu sejak lapan tahun lalu.

- Advertisement -

Katanya, menjaga suami yang lumpuh hampir seluruh badannya bukan suatu perkara yang mudah.

“Pada mulanya sebelah tangan kanan suami masih boleh bergerak, namun sekarang semakin kaku kerana sudah lama terlantar,” katanya ketika ditemui di rumahnya sempena misi lawatan ADUN Kelaboran, Mohd Adanan Hassan dan Skuad Kita Cakna (SKC), kelmarin. (Foto atas)

Menurut beliau, suaminya hanya mampu dimandikan seminggu sekali kerana sukar mengangkat dari pembaringan ke bilik air.

“Hari biasa saya hanya mengelap badannya dengan kain basah sahaja,” katanya yang turut dibantu anak perempuannya.

Faridah juga berkata, suaminya mendapat bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM500, namun jumlah itu tidak mencukupi memandangkan perbelanjaan bulanan antara RM600 hingga RM700 sebulan.

Katanya, kos berkenaan termasuk membeli lampin pakai buang, di samping menyediakan nestum dan susu khas.

Bagaimanapun beliau berkata, susu khas berkenaan tidak dapat lagi dibeli kerana harganya semakin mahal dan diganti bubur nasi yang dikisar bagi menjimatkan kos.

Kata beliau juga keluarganya tiada pendapatan tetap di mana anak perempuannya hanya menjual air balang sempena Ramadan.

Sementara itu, Adanan berusaha membantu suami Faridah bagi mendapat bantuan Skim Pesakit Kronik yang disediakan kerajaan negeri.

Kata beliau, peruntukan yang diberikan kerajaan negeri bagi bantuan pesakit kronik tidak mencukupi memandangkan ramai pesakit yang memohon.

“Sepanjang tahun lepas kami menyumbang kepada 91 pesakit kronik di DUN Kelaboran melibatkan peruntukan RM30,000.

“Sumbangan secara one off itu tidak sama antara RM300 hingga RM500 mengikut tahap penyakit yang dihadapi,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -