PM silap dalam fahami jati diri orang Terengganu

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri (PM), Dato’ Seri Anwar Ibrahim silap dalam memahami jati diri orang Terengganu, kata Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim.

- Advertisement -

Menurutnya, rakyat Terengganu sangat anti dengan pemimpin yang angkuh dan bercakap besar.

Sehubungan itu, beliau sudah mula rasa mual dengan polemik isu Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan pembangunan kepada negeri-negeri.

“Dari zaman Kerajaan BN sampai zaman kerajaan hibrid BN/PH. Isu yang sama masih diungkit. Tiada noktah dan polemik berterusan,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, pelbagai cukai dikaut dari negeri-negeri tetapi kemudiannya penyaluran wang yang menjadi hak negeri diungkit.

“Betapa saya lihat tahap pemahaman pemimpin negara dengan konsep federalisme sangat perlu disekolahkan semula.

“Dalam hal ini saya bersetuju supaya disusun satu program continuous education programme kepada PM dan para menteri yang berkenaan agar mereka faham dan hadam sebaiknya akan tugas dan fungsi jawatan yang disandang,” katanya.

Menurutnya, betapa banyak kekayaan kerajaan pusat telah dikaut hasil dari bumi negeri ini terutama hasil minyak dan khazanah gas asli tetapi apabila buat sedikit pembangunan, ia diungkit.

Tambahnya, lebih malang lagi apabila projek pembangunan dijadikan alasan untuk tidak menyalurkan sepenuhnya wang hasil petroleum yang menjadi hak negeri.

“Sila baca balik Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan fahami apa makna royalti,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Ini, ujarnya belum lagi dikira cukai pendapatan yang dibayar oleh rakyat negeri ini sama ada yang bekerja di negeri atau yang berada di luar Terengganu.

Katanya, ramai pegawai tinggi kerajaan di Putrajaya dan Kuala Lumpur adalah orang Terengganu.

Beliau menambah, hasil minyak dan gas, cukai lapangan terbang, pendapatan, cukai jalan, denda mahkamah, bayaran lesen serta banyak lagi kerajaan Pusat kaut dari negeri ini.

“Buruk siku PMX duduk ungkit balik bila kerajaan pusat ada bagi dana kepada negeri. Nak bayar gaji pun minta duit dengan saya. Kita tak rasa terhina dengan ucapan ini.

“Tapi PMX silap dalam memahami jati diri orang Terengganu. Rakyat Terengganu sangat anti dengan pemimpin yang angkuh dan bercakap besar,” tambahnya.

Menurutnya, silap kalau beranggapan apabila ditekan, maka orang Terengganu akan menjadi lemah. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -