100 anak yatim ditaja iftar, bermalam di hotel

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sejak menumpang berteduh di Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) di Rumah Puteri Harapan Taman Sabariah sejak empat tahun lalu, Nurjannah Nawi, 19, tidak pernah bermimpi untuk tidur di hotel.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, Ramadan tahun ini beliau dan rakan-rakan dapat menikmati tidur di hotel yang pernah diimpikan sebelum ini. 

“Sejak tinggal di YAATIM belum pernah saya merasai pengalaman tidur di hotel, namun kali ini dapat merasainya,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran H Elite Design Hotel, di sini.

Rosaisyah Mohd Rosli, 17, juga berkongsi perasaan teruja apabila ditawarkan menginap di hotel berkenaan semalaman sempena Ramadan.

Katanya, bukan setakat berbuka puasa, sebaliknya beliau bersama 100 rakan diberi peluang bermalam di hotel tersebut.

“Bukan sahaja setakat berbuka puasa, tetapi diraikan dengan bermalam, mandi di kolam dan bersahur secara percuma,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel H-Elite Design Hamzah Rosli berkata pihaknya membuat kelainan tahun ini dengan menjemput 100 penghuni YAATIM lelaki dan perempuan bermalam di situ.

Katanya, setiap tahun ada program bersama anak-anak yatim, namun tahun ini bertambah meriah dengan kehadiran 120 tetamu istimewa itu.

“Jumlah itu seramai 100 orang dari YAATIM, 20 lagi dari sebuah pondok yang turut kita raikan pada majlis berbuka puasa,” katanya ketika ditemui.

Menurut beliau pihaknya membuka kolam renang di tingkat 18 sehingga jam 12 tengah malam untuk memberi ruang kepada anak-anak berkenaan bermain kolam.

Tambahnya, pihak hotel setiap tahun membuat penambahbaikan dalam menyalurkan tanggungjawab sosial kepada anggota masyarakat khususnya anak-anak yatim.

Pada masa yang sama juga, pihaknya turut menyumbang nasi beriani seminggu sekali sebanyak 100 bungkus kepada jemaah di Masjid Muhammadi.

H-Elite turut menyediakan ruang solat untuk tarawih kepada orang ramai yang berbuka puasa dan pelanggan yang menginap di hotel berkenaan.

Sempena program berkenaan sebelum majlis berbuka puasa, orang ramai disajikan bacaan al-Quran oleh dua pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), iaitu Muhammad Syarifuddin Ismail, 21, dan Mohamad Khairul Wafi Md Nor, 20. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -