Harga RON95, diesel melambung tinggi jika Ringgit lemah

Shahir Adnan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengapungan harga minyak (petroleum) hanya boleh dilakukan apabila nilai Ringgit Malaysia (RM) mengukuh dan kuat; jika tidak, harga minyak di negara kita akan melambung tinggi akibat Ringgit yang lemah.

Itu penegasan yang diutarakan aktivis politik, Shahir Adnan susulan pengapungan mengikut harga pasaran bagi RON95 dan Diesel dikatakan boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion.

- Advertisement -

Tambahnya, berdasarkan kenyataan media oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB) kelmarin, ia bermakna harga dijangka meningkat sebanyak 64 peratus bagi RON95 dan 61 peratus bagi diesel.

“Harga semasa RON95 yang digunakan oleh rakyat pada hari ini adalah sekitar RM2.05 seliter. Ini bermakna, sekiranya diapungkan, harga RON95 akan meningkat kepada RM3.36 seliter, peningkatan sebanyak RM 1.31 sen bagi setiap liter.

“Kiraan mudah, rakyat perlu bayar lebih sebanyak RM13.10 sen untuk mengisi 10 liter minyak RON95,” jelasnya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, secara asasnya, langkah pengapungan (harga) bahan api akan membantu mengurangkan defisit fiskal tetapi memberi tekanan ke atas inflasi.

“Namun begitu, apakah teori ekonomi ini dapat mengurangkan beban rakyat ataupun rakyat akan makin tertekan dengan kos sara hidup yang bakal melambung tinggi?” soal Shahir.

“Naik atau turun harga minyak ditentukan oleh permintaan dan penawaran (demand and supply) minyak mentah, melibatkan kos minyak mentah di pasaran dunia dan kadar tukaran mata wang Ringgit,” jelasnya.

Tambah beliau, nilai minyak mentah di Malaysia ditentukan oleh harga minyak Brent Tapis Malaysia, sekitar AS$80 hingga AS$90 setiap tongl atau 159 liter.

“Sekali lagi, pengiraan mudah tanpa mengambil kira kos penapisan dan sebagainya, sekiranya kita menggunakan minyak keluaran negara kita sendiri, harga minyak adalah sekitar RM 2.77 setiap liter. Ini jauh lebih tinggi daripada harga sekarang.

“Namun begitu, kita turut mengimport minyak mentah dari negara pengeluar dunia lain. Pada tahun 2022, Malaysia mengimport minyak mencecah kos mencecah AS$12.2 bilion iaitu dari Arab Saudi (sebanyak AS$5.54 bilion), Emiriyah Arab Bersatu (AS$1.53 bilion), Brazil (AS$1.07 bilion), Kuwait (AS$513 juta), dan China (AS$397 juta).

“Justeru, pada hemat saya, pengapungan harga minyak hanya boleh dilakukan apabila nilai ringgit kita mengukuh dan kuat; sebaliknya harga minyak di Malaysia akan melambung tinggi akibat Ringgit yang lemah,” hujahnya.

Beliau turut menyatakan, rantaian kenaikan harga barang akan mencanak naik; sementara apabila harga Diesel naik, ia akan menyebabkan kos penghantaran naik.

“Lebih parah, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah naik pada 1 Mac kepada 8 peratus (daripada 6%).

“Akibatnya, harga barang akan naik lagi. Akhirnya, bantuan bersasar yang diuar-uarkan (kerajaan) daripada penjimatan subsidi ini tidak akan mampu membantu kenaikan kos sara hidup yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -