Pengapungan harga minyak: ‘Terlepas mulut buaya, masuk mulut…’

Iqman Iberahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia pada ketika ini seperti pepatah Melayu,‘Terlepas mulut buaya, masuk mulut harimau, kerana dijangka tetap menghadapi kos sara hidup yang meningkat secara menggila apabila pengapungan harga minyak dilaksanakan kelak.

Exco Lajnah Isu Rakyat & NGO Dewan Pemuda PAS Gombak, Iqman Iberahim berkata demikian sambil menambah, minyak RON95 dan diesel merupakan keperluan penggunaan harian yang melibatkan pergerakan kenderaan untuk dari satu destinasi ke destinasi yang lain.

- Advertisement -

“Ini (langkah pengapungan harga RON95 dan diesel) mampu menjadi punca asas menjadikan pembiayaan kos yang lain juga boleh meningkat.

“Sudahlah rakyat tertekan dengan segala macam kos harga barang keperluan seharian yang meningkat dan seperti tiada kawalan, kini bakal ditambah pula dengan bayangan bahawa harga minyak RON95 dan diesel dijangka meningkat pula.

“Daripada pembekal, pemborong, peruncit sehinggalah kepada peniaga-peniaga kecil (dan akhirnya pengguna), mereka semua bakal menghadapi tekanan yang terpaksa meningkatkan harga jualan barangan masing-masing sebab ingin menampung kos yang lain (yang naik),” katanya kepada HarakahDaily.

Terdahulu, kecoh apabila Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam laporan media kelmarin, menganggarkan bahawa kenaikan harga RON95 dan diesel masing-masing akan meningkat sehingga 60 peratus dan 61 peratus berbanding harga sekarang.

Ia dijangka berlaku susulan pengapungan mengikut harga pasaran bagi RON95 dan diesel, yang dikatakan boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion pada ketika ini.

Sehubungan itu, HILB membayangkan bahan api diapungkan ke harga pasaran dan pada masa sama, memberi bantuan tunai kepada mereka yang telah dikenal pasti sebagai kumpulan sasaran dalam Pangkalan Data Utama (PADU).

“Dengan ketiadaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pembaharuan subsidi kini lebih penting jika sasaran defisit fiskal Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 ingin dicapai,” ujar HILB.

Sehubungan itu, Iqman mengesa agar Kerajaan Madani mengkaji semula langkah pengapungan harga minyak RON95 dan diesel dalam masa terdekat ini.
“Ia memandangkan rakyat kini berhadapan dengan kos perbelanjaan sempena bulan Ramadan, serta Aidil Fitri yang bakal menjelma, selepas berbelanja ketika sesi persekolan dibuka,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -