Houthi benarkan Rusia, China belayar di Laut Merah

Pihak Houthi Yaman telah mencapai tujuan bersama dengan China dan Rusia berkenaan laluan di Laut Merah. (FOTO: Politico)
- Advertisement -

TELUK ADEN: Pejuang Islam Houthi Yaman telah memberikan jaminan bahawa kapal dari negara Rusia dan China telah diberikan kebenaran untuk belayar di Laut Merah dan Teluk Aden dengan selamat, tanpa sebarang serangan dan ancaman daripada pihaknya.

Tindakan Houthi yang menyerang kapal dari Israel dan sekutunya, terutama Amerika Syarikat (AS) sebelum ini sebagai tanda sokongannya kepada pejuang Hamas di dalam konflik Israel-Palestin yang masih berlarutan sehingga kini, telah menimbulkan kegusaran negara-negara lain yang ingin belayar di kawasan berkenaan.

- Advertisement -

Sebagai balasan, pihak Rusia dan China akan memberikan sokongan politik kepada Houthi terutamanya dalam persidangan Majlis Keselamatan PBB, yang antara lainnya menghalang sebarang resolusi yang ditujukan kepada pihak Houthi, lapor Bloomberg.

Pada Januari lalu, Majlis Keselamatan PBB telah menerima resolusi yang mengecam tindakan Houthi melakukan serangan terhadap kapal-kapal kargo khususnya dari Israel dan sekutu yang belayar di Laut Merah, namun Rusia dan China tidak menghadiri sesi undian yang dijalankan itu.

Terdahulu, rundingan antara Rusia, China dengan pihak Houthi dilaporkan telah berlangsung di Oman.

Awal tahun ini juga, delegasi dari Houthi telah mengadakan lawatan ke Kementerian Luar Rusia yang antara lainnya membincangkan mengenai isu untuk menekan dan memaksa Israel dan AS menghentikan konflik yang berlaku di Gaza yang telah membunuh lebih 30,000 penduduk Palestin di situ. – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -