Puasa: Sejarah penyelewengan dan keutamaan menjaga jati diri

- Advertisement -

PENYELEWENGAN Yahudi

- Advertisement -

Masyarakat Yahudi di Madinah sudah sedia maklum akan kemunculan Nabi akhir zaman. Mereka berhijrah ke negeri itu sejak sekian lama, menumpang di tanah orang Arab. Yahudi adalah ajaran sesat yang dicipta selepas pemergian Nabi Musa AS. Mereka itu asalnya beragama Islam, namun mereka sengaja memilih kesesatan.

Mereka mendakwa bahawa sebahagian ajaran Nabi Musa AS masih lagi mereka amalkan. Antaranya ialah puasa sempena Hari Pengampunan, yang diambil daripada 5 safar pertama dalam Perjanjian Lama. 5 Safar tersebut mereka sandarkan kepada Nabi Musa AS.

Termasuk juga puasa pada Hari Asyura (10 Muharram) yang mereka rayakan sempena pembebasan Bani Israel yang dipimpin oleh Nabi Musa AS, daripada kekejaman Firaun. Perkara ini akan dihuraikan selepas ini in sya Allah.

Sebahagian yang lain ajaran Yahudi, direka-reka dan kebanyakan ajaran Nabi Musa AS mereka abaikan dan tinggalkan. Antaranya ialah kewajipan mencegah kemungkaran, dan larangan mengamalkan riba.

كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَن مُّنكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

“Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” (Al-Maidah: 79)

وَأَخْذِهِمُ الرِّبَا وَقَدْ نُهُوا عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَالَ النَّاسِ بِالْبَاطِلِ 

“Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).” (An-Nisa: 161)

Bahkan, Bani Israel juga pernah disuruh oleh Allah SWT untuk memerintah dengan adil. Mereka tidak dibenarkan memerintah dengan undang-undang taghut;

يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَن يَكْفُرُوا بِهِ

“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu.” (an-Nisa: 60)

مِّنَ الَّذِينَ هَادُوا يُحَرِّفُونَ الْكَلِمَ عَن مَّوَاضِعِهِ وَيَقُولُونَ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَاسْمَعْ غَيْرَ مُسْمَعٍ وَرَاعِنَا لَيًّا بِأَلْسِنَتِهِمْ وَطَعْنًا فِي الدِّينِ

“Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”, (sedang mereka berkata dalam hati): “Kami tidak akan menurut”. (Mereka juga berkata): “Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk”, serta (mereka mengatakan): “Raaeina”; (Tujuan kata-kata mereka yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela agama Islam.” (an-Nisa: 46)

Menanti Nabi akhir zaman

Antara kepercayaan Yahudi ialah kemunculan Nabi akhir zaman. Kepercayaan yang kuat ini mendorong mereka untuk berhijrah ke Madinah, dan berkampung di sana. 

Allah SWT berfirman;

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِندَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنجِيلِ يَأْمُرُهُم بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ ۚ فَالَّذِينَ آمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنزِلَ مَعَهُ ۙ أُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (al-A’raf: 157)

Manakala orang asal Madinah (Arab) berpegang dengan ajaran Nabi Ibrahim AS. 

Namun, sebelum kemunculan Nabi Muhammad SAW, ajaran Nabi Ibrahim AS telah diseleweng oleh pembesar Mekah, antaranya ialah Amrun bin Luhayy. Ajaran yang masih kekal ialah mengerjakan haji pada hujung tahun (bulan Zulhijjah). Perkara ini telah diperincikan oleh Syeikh Safiurrahman al Mubarakfuri dalam kitab الرحيق المختوم

Polisi-polisi baru telah ditetapkan oleh Amrun, sambil mendakwa ia adalah ajaran Nabi Ibrahim AS. Polisi-polisi ini akhirnya menyebabkan amalan haji yang dilakukan oleh masyarakat Arab saban tahun juga ditokok-tambah.

2 tahun sebelum hijrah, masyarakat Arab Madinah bertandang ke Mekah bagi mengerjakan haji seperti biasa. Ketika itu dakwah Nabi Muhammad SAW sudah tersebar. Lantas masyarakat Arab Madinah memeluk agama Islam mengikut syariat Nabi Muhammad SAW.

Setelah pulang ke Madinah, ajaran Nabi Muhammad SAW tersebar di sana, dalam keadaan masyarakat Yahudi sedang menantikan kemunculan Baginda SAW. Selepas setahun, masyarakat Madinah sekali lagi ke Mekah untuk mengerjakan haji. Rombongan kedua ini turut memeluk agama Islam dan menemui Nabi Muhammad SAW.

Ketibaan Baginda SAW di Madinah menggemparkan komuniti masyarakat Yahudi. Ada di kalangan mereka yang pergi menyelidik adakah Nabi Muhammad SAW benar-benar Nabi akhir zaman yang mereka nantikan selama ini.

Setelah menyelidik, mereka dapati Nabi Muhammad SAW adalah benar-benar Nabi Akhir Zaman sepertimana yang disampaikan kepada mereka sejak zaman berzaman. Namun, disebabkan Baginda SAW bukan dari kalangan Yahudi, kebanyakan mereka mengambil jalan untuk tidak beriman dengan Nabi SAW, melainkan beberapa orang sahaja.

Sekali lagi mereka menzahirkan perangai mereka yang sebenar. Iaitu, mereka hanya mengikut syariat yang kena dengan selera mereka sahaja. Mana-mana syariat yang tidak kena dengan selera mereka, mereka tinggalkan.

Perubahan kiblat

Sejak zaman Nabi Ibrahim AS, masyarakat Arab bersolat dengan menghadap ke Kaabah. Namun telah diseleweng. Bahkan, di kalangan Masyarakat Arab Madinah pula tak dapat dipastikan adakah wujud individu yang mengadap ke Kaabah. 

Menurut Jawwad Ali dalam kitab ابحاث في تاريخ العرب قبل الاسلام menggambarkan bahawa sebelum kedatangan Islam, rata-rata masyarakat Arab Madinah menyembah berhala. Termasuk juga pergi haji mengikut upacara dan ritual yang direka-reka, sepertimana yang diterangkan tadi. Fakta-fakta ini diperselisihkan di kalangan pengkaji Islam. 

Manakala masyarakat Yahudi pula ketika itu berkiblatkan Baitul Maqdis. Ketika di Mekah sebelum hijrah, Nabi SAW kekal berkiblatkan Kaabah mengikut ajaran Nabi Ibrahim AS. Namun, fakta ini diperselisihkan di kalangan pengkaji-pengkaji Islam. 

Sepertimana yang dikatakan tadi, ketibaan Nabi Muhammad SAW di Madinah telahpun dimaklumi oleh masyarakat Arab di sana lebih awal. Bahkan, mereka telah pun beriman kepada Baginda SAW, hasil dakwah yang dilakukan oleh rombongan Haji sebelum itu. 

Namun, kebanyakan golongan Yahudi memilih untuk tidak beriman dengan Baginda SAW, sekalipun telah terbukti kebenarannya. Ini kerana, mereka hanya memilih syariat yang kena dengan selera mereka sahaja. Hatta termasuk Nabi akhir zaman yang mereka nantikan selama ini pun, tidak kena dengan selera mereka.

Sejak ketibaan Nabi SAW di Madinah juga, Allah SWT menyuruh Baginda SAW bersolat dengan menghadap kiblat Baitul Maqdis. Perintah ini selari dengan selera orang-orang Yahudi. Namun, mereka tetap berkeras untuk tidak beriman dengan Baginda SAW.

Namun, setelah lebih setahun berkiblatkan Baitul Maqdis, pada pertengahan Rejab atau Sya’ban tahun 2 Hijrah, Allah SWT memerintahkan kepada Baginda SAW untuk menukar arah kiblat. Kembali mengadap ke Kaabah. Perkara ini menimbulkan pertikaian di kalangan orang Yahudi.

Allah SWT berfirman;

سَيَقُولُ السُّفَهَاءُ مِنَ النَّاسِ مَا وَلَّاهُمْ عَن قِبْلَتِهِمُ الَّتِي كَانُوا عَلَيْهَا ۚ قُل لِّلَّهِ الْمَشْرِقُ وَالْمَغْرِبُ ۚ يَهْدِي مَن يَشَاءُ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُّسْتَقِيمٍ

“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: “Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Timur dan barat adalah kepunyaan Allah – (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus”” (al Baqarah: 142)

Membezakan puasa Islam dan Yahudi

Pada Ramadhan tahun 2 Hijrah juga, Allah SWT menurunkan wahyu kewajipan berpuasa. Dalam masa yang sama, orang Yahudi mendakwa mereka itu juga berpuasa. Mereka mendakwa berpuasa mengikut ajaran Nabi Musa AS. Walhal, tidak dapat dipastikan apakah kaedah itu menepati puasa Nabi Musa AS, atau ia telah diubah suai. 

Imam Qurtubi ketika menghuraikan ayat 183 Surah al Baqarah, ada menukilkan pendapat al Qatadah dan asy Sa’bi menyatakan bahawa Yahudi dan Nasrani juga pada asalnya telah difardhukan dengan berpuasa di Bulan Ramadhan. 

Bahkan, Dr Ali Abdul Wahid di dalam kitabnya, الصوم والأضحية بين الإسلام والأديان السابقة , ada menyatakan bahawa masyarakat Arab Mekah juga pada asalnya berpuasa pada Ramadhan. Cuma para ulama’ berselisih, samada amalan tersebut sejak zaman Nabi Ibrahim AS, atau ia dimulakan oleh Abdul Mutalib (Datuk Nabi SAW)

Cuma, yang dapat dipastikan, mereka turut berpuasa pada 10 Muharram. Perkara ini akan dihuraikan selepas ini in sya Allah. Begitu juga kaedah berpuasa, walaupun ada persamaan dari sudut ‘menahan diri daripada makan dan minum’, namun ada perbezaannya.

Menurut Dr Muhammad al Hawari di dalam kitabnya, الصوم في اليهودية puasa orang Yahudi pada Hari Pengampunan, Hari Penebusan Dosa dan lain-lain. Mereka berpuasa sehari suntuk. Bahkan hari berpuasa mereka lebih kepada bersempena memperingati sejarah silam Yahudi, dan memperingati tokoh-tokoh mereka yang sudah pergi.

Antara lain, mereka berpuasa dengan kaedah yang melampau. Antaranya yang disebutkan oleh Dr Muhammad al Hawari, mereka berpuasa dalam keadaan tidak berpakaian, duduk di tengah panas, melumurkan kepala mereka dengan tanah, dan tidak mandi. Di dalam Yuna 3 : 7-8 menyatakan bahawa sebahagian daripada mereka ketika berpuasa, binatang ternakan juga disuruh berpuasa.

Walaupun secara dasarnya puasa itu ialah menahan diri daripada makan dan minum, namun, Nabi Muhammad SAW membezakan puasa orang Islam dan puasa orang Yahudi. 

Antaranya Nabi SAW bersabda;

فَصْلُ ما بيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الكِتَابِ، أَكْلَةُ السَّحَرِ

“Perbezaan antara puasa kita dengan puasanya Ahli Kitab adalah makan di waktu sahur” (Shahih Muslim)

لَا يَزَالُ الدِّينُ ظَاهِرًا مَا عَجَّلَ النَّاسُ الْفِطْرَ لِأَنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى يُؤَخِّرُونَ 

“Agama ini akan terus zahir selama mana manusia menyegerakan berbuka kerana Yahudi dan Nasrani melewatkannya” (Riwayat Abu Daud)

Menjaga identiti dan jati diri

Sepertimana yang dinyatakan tadi, Nabi SAW berpesan dalam banyak perkara supaya menjaga jati diri. Antaranya Nabi SAW menggesa kita supaya bersahur dan segera berbuka bagi membezakan cara berpuasa kita dan puasa ahli kitab.

Sepertimana yang disebutkan, komuniti masyarakat Yahudi di Madinah berpuasa pada tarikh tarikh tertentu, antaranya pada 10 Muharram (Asyura). Puasa Asyura’ merupakan salah satu amalan komuniti masyarakat Yahudi di Madinah disebabkan beberapa peristiwa. Antaranya bagi memperingati hari pembebasan Nabi Musa AS daripada cengkaman Firaun.

Sekalipun orang Yahudi berpuasa pada tarikh itu, Nabi SAW turut berpuasa dengan ditegaskan; 

نحن أولى بموسى منكم 

“Kita lebih berhak terhadap Nabi Musa AS (berbanding orang Yahudi).”

Lalu Nabi SAW tetap mengamalkannya dengan menambah puasa pada hari kesembilan (tasu’a). Di dalam hadis yang lain Nabi SAW menyatakan bahawa ia disunatkan. Ia bukanlah satu kewajipan setelah disyariatkan puasa Ramadhan. 

Apa yang boleh difahami di sini ialah dalam bab puasa ini ialah umat Islam perlu menjaga identiti, iaitu berpuasa bukan disebabkan meniru amalan Yahudi atau golongan yang telah sesat.

Nabi SAW bersabda menggambarkan kerosakan akhir zaman apabila umat Islam mengikut jejak langkah Yahudi dan Kristian;

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُم شِبْرًا بشبْر، وذراعًا بذراع، حتَّى لو سَلَكُوا جُحْر ضَبٍّ لَسَلَكْتُمُوهُ 

“Pasti kalian akan mengikuti orang-orang sebelum kalian, sejengkal demi sejengkal, dan sehasta demi sehasta, sampai jika mereka memasuki lubang biawak kalian pasti akan mengikuti mereka.”

 قلنا: يا رسول الله؛ اليهودُ والنَّصارى؟ 

“Kami (Para Sahabat RA) bertanya : Wahai Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?.”

 قال النَّبيُّ صلى الله عليه وسلم : فمن؟ 

“Nabi S.A.W bersabda: Siapa lagi kalau bukan mereka?”

Penjagaan identiti sebagai seorang muslim perlu lebih diutamakan, apatah lagi zaman hari ini, umat Islam sedang berhadapan dengan krisis identiti. Hilangnya jati diri dan larut dengan pengaruh luar bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Ia hakikatnya adalah penyakit, yang mengakibatkan tidak konsisten atas dasar ketulenan Islam.

USTAZ MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 22/3/2024

- Advertisement -