Ketika badai takdir menghempas dirimu

- Advertisement -

DI KETIKA kita membicarakan  masalah takdir, kita sebenarnya sedang membincangkan salah satu Rukun Iman. Rukun Iman tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Itulah Iman. 

Ketika Jibril menanyakan kepada Nabi S.A.W tentang Iman: 

- Advertisement -

Kata Jibril: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah S.A.W menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah S.W.T, dan malaikat-Nya, dan segala kitab-Nya, dan para Rasul-Nya, dan Hari Kiamat dan engkau beriman kepada takdir baik-Nya dan jahat-Nya. Dia berkata: Benarlah engkau!
(Riwayat Muslim)

Rukun Iman yang ke-6 menyatakan, engkau mesti beriman dengan takdir baik atau buruk. Takdir ini sudah ditetapkan. 

Dalam satu hadis, daripada ‘Ubadah bin ash-Shamit R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya makhluk pertama Allah S.W.T ciptakan adalah Al-Qalam, kemudian Allah S.W.T berfirman kepadanya: Tulislah! Kemudian Al-Qalam berkata: Wahai Rabbku, apa yang aku tulis? Allah S.W.T berfirman: Tulislah takdir segala sesuatu sampai datang hari kiamat.”
(Hadis riwayat Abu Dawud dan disahihkan Syeikh al-Albany)

Bagaimanapun, dalam hadis lain menunjukkan ketika pena menulis ternyata Arasy dan air sudah diciptakan. Ia sebagaimana dalam hadis Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash R.A, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Allah S.W.T menulis takdir semua makhluk 50,000 tahun sebelum menciptakan langit dan bumi dan Arasy Allah S.W.T berada di atas air.” (Hadis riwayat Muslim)

Bagaimana kalau ada takdir buruk? Sedangkan menurut Allah S.W.T, semua takdir itu indah. Dan tatkala kita membincangkan apa yang Allah S.W.T lakukan, kita mesti ingat bahawa, Allah S.W.T itu ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Mulk, Al-Malek, Al-Quddus dan Allah S.W.T mempunya banyak nama-nama-Nya. Allah S.W.T mempunya asmaul husna. Allah S.W.T itu indah dan tak mungkin ada yang buruk. 

Hanya kita, seorang makhluk yang memandang buruk sesuatu itu buat kita, padahal kalau kita renungkan sedikit, maka kita akan tahu ternyata ketika takdir itu menghempas, tujuannya agar kita beriman dengannya, takdir-Nya. Agar kita tahu akan  kelemahan diri dan sedar yang kita bukan siapa-siapa. Kita hanya seorang hamba yang mengikut ketentuan pencipta langit dan bumi, Allah S.W.T. 

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

” Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu sendiri, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah S.W.T.

“(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula terlalu bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah S.W.T tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”
(Al-Hadid : 22-23)

Bagaimana sikap kita? Kita wajib beriman dengan takdir, ketika takdir menghempas kepada kita. Tidak perlu menyebut perkataan ‘andaikata’ ‘jikalau’, ‘seandainya’ dan lain-lain lagi. Terimalah! Kerana hal itu sudah terjadi. Ucapan-ucapan itu cuma akan menambah luka di hati dan membuka pintu untuk syaitan.

Jadi Rasulullah S.A.W, ketika memberikan nasihat kepada seorang sahabat, Beliau menyebutkan, daripada Abu Hurairah R.A, dia berkata; Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah S.W.T daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan mintalah pertolongan kepada Allah S.W.T, serta janganlah engkau merasa malas (menjadi orang yang lemah). Apabila kamu tertimpa suatu musibah, maka janganlah kamu mengatakan; ‘Seandainya tadi aku berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan menjadi begini dan begitu’. Tetapi katakanlah; ‘Ini sudah takdir Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya. Dan jauhilah olehmu dari ucapan ‘Seandainya’ (kalau), kerana sesungguhnya ungkapan ‘Seandainya’ (kalau) membuka peluang masuknya syaitan.” (HR Muslim No: 4816) Status: Hadis Sahih)

Orang yang beriman dengan takdir Allah S.W.T, maka hidupnya akan bahagia, walaupun keadaan hidupnya susah dan terluka. Kenapa? Kerana dia tahu bahawa Allah S.W.T itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jadi sentiasalah berbaik sangka dengan Allah S.W.T dan berburuk sangka dengan diri sendiri.

Lihatlah doa Nabi Ayyub A.S di Ketika beliau berhadapan dengan takdir buruk yang membuatkan semua anak-anaknya mati, hartanya musnah bahkan tubuhnya menjadi lemah disebabkan penyakit. Tetapi apa kata beliau di dalam doanya seperti dalam firman Allah S.W.T:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub AS, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.
(Al-Anbiya : 83)

Di Ketika, kita mengenali Allah S.W.T, kita tidak akan pernah berburuk sangka dengan Allah S.W.T. Tetapi di Ketika kita hanya mengenali diri kita sendiri, kita akan selalu menyalahkan orang di atas apa yang berlaku kepada kita.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah S.W.T; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah S.W.T menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).” (An-Nisa : 79)

Jadi segala musibah yang menimpa itu, adalah kerana dosa-dosa kita. Ramai di kalangan kita menyatakan bahawa, aku tidak berdosa. Kata-kata itu sendiri adalah dosa. 

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (HR  al-Tirmizi)

Sesungguhnya Allah S.W.T Maha Pengasih, Allah S.W.T masih memaafkan kita ketika kita berbuat dosa. 

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan kalaulah Allah S.W.T mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) DIa memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah S.W.T akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah S.W.T sentiasa melihat keadaan hamba-hamba-Nya.” (Fatir : 45)

Allah masih menangguhkan hingga ke satu waktu yang ditetapkan Allah S.W.T. Allah S.W.T tidak menghukum serta merta. Mungkin di antara masa itu, dia bertaubat, mungkin kembali kepada Allah S.W.T. Mungkin dia berbuat dosa di malam hari tetapi di bukanya tangannya memohon ampun kepada Allah S.W.T di siang harinya dan Allah S.W.T menerima taubatnya. 

Diriwayatkan dari Anas ibn Malik R.A berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Apabila Allah S.W.T menghendaki kebaikan untuk hamba-Nya maka Dia akan menyegerakan untuknya hukuman di dunia. Dan apabila Allah menghendaki kejelekan untuk hamba-Nya maka Dia akan menahan darinya hukuman karena dosanya sehingga kelak di akhirat Dia akan menyempurnakan hukuman untuknya.” (HR. At-Tirmidzi, no. 2319 dengan sanad yang hasan)

Salah satu tanda Allah S.W.T menghendaki kebaikan kepada hamba-Nya adalah dengan memberikan musibah dan ujian kepadanya sebagai hukuman atas dosa dan maksiat yang dia lakukan;

Dan salah satu tanda Allah S.W.T menghendaki kejelekan kepada hamba-Nya adalah dengan membiarkan hamba tersebut terus dalam kemaksiatan tanpa teguran dan peringatan dari-Nya berupa musibah dan cobaan.

Dosa dan maksiat merupakan sebab turunnya musibah dan cobaan maka hadapilah dengan sabar, syukur, taubat, bersangka baik dan memperbanyak istighfar (memohon ampunan) kepada Allah S.W.T.

Ali ibn Abi Thalib R.A berkata,

“Tidaklah musibah itu turun melainkan karena dosa dan tidak diangkat melainkan dengan taubat.”

Jadi kita harus sedar bahawa musibah-musibah yang menimpa kita, mungkin kerana dosa kita. Allah S.W.T ingin kita kembali kepada-Nya. Walaupun musibah itu pahit tetapi sebenarnya ubat. Tidak sama ujian orang yang sakit kepala dengan orang yang kena strok. Jadi jangan dibanding ujian kita dengan orang lain.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Sesungguhnya besarnya suatu balasan sebanding dengan besarnya musibah yang dialami. Barang siapa yang reda atas musibah itu maka ia akan mendapatkan keredaan Allah S.W.T. Tetapi barang siapa yang murka, maka baginya kemurkaan Allah.” (Riwayat at-Tarmidzi).

Semoga kita ditetapkan hati untuk reda di atas segala takdir yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Kalau kita reda maka Allah S.W.T akan reda kepada kita.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Jika Allah mencintai suatu kaum maka Allah S.W.T akan berikan mereka ujian.” (HR. Ath-Thabrani dalam Mu’jamul Ausath, 3/302. Dishahihkan Al-Albani dalam Shahih Al-Jami’ no. 285).

Mereka adalah orang-orang yang dicintai oleh Allah S.W.T. Takdir yang menimpa orang-orang yang Allah S.W.T cintai, itu dalam rangka mensucikannya, dan mengangkat derajatnya, sehingga mereka menjadi teladan bagi yang lainnya dan boleh bersabar.

Tabi’in Al Hasan Al Bashri rahimahullah pernah menuturkan yang bermaksud

“Janganlah engkau membenci musibah yang terjadi. Betapa banyak perkara yang engkau benci, tapi ternyata di dalamnya tersimpan kunci kebahagiaan. Dan betapa banyaknya perkara yang engkau menyukai, padahal di dalamnya adalah kehancuran dan kebinasaan bagimu.”
(lihat Tafsir al- Qurthubi, 3/39)

Kita memang tidak suka terkena musibah ke atas kita tetapi tatkala takdir menghempas, kita kena terima. Kenapa? Kerana ianya sudah terjadi. Kalau belum terjadi, kita berdoa agar kita dijauhkan dari petaka dan musibah itu. Sesiapa yang menerima, mereka akan jadi makhluk yang produktif/berupaya. Ada dua penyakit yang Rasulullah S.A.W minta berlindung daripadanya:

اَللَّهُمَّ اِنِّى اَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ
“Ya Allah, aku berlindung padaMu dari rasa sedih dan gelisah…”
(HR al-Bukhari)

Sedih dengan apa yang sudah berlaku dan gelisah dengan takdir masa depan yang belum berlaku. Hal ini akan menjadikan perasaan akan menderita dan tertekan. Jadi apa sikap kita? Kita tiada pilihan kecuali menerima takdir Allah S.W.T yang menghempas dalam hidup kita.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Sungguh ajaib urusan orang mukmin, semua urusannya adalah baik, dan tidak ada seperti itu melainkan mukmin sahaja. Jika ditimpa kesenangan ia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika ditimpa kesusahan pula ia bersabar maka itu baik juga untuknya.” (HR Muslim (2999))

Tentang pahala yang didapati oleh orang-orang yang bersabar, menerima takdir dan yang bersyukur, Allah S.W.T nyatakan dalam ayat di bawah yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah S.W.T dan kepada Allah S.W.T jualah kami kembali.

“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.”
(Al-Baqarah : 155-157)

Sebesar dan seburuk mana pun musibah yang menimpa semasa di dunia ini, yang menyebabkan kamu tidak berdaya. Duduklah sebentar bermuhasabah diri!. Contohnya, lihatlah kepada mereka yang diuji dengan penyakit barah tahap 4 atau mana-mana penyakit kronik yang lain. Mereka kena hadapi dengan sabar. Seandainya tubuh mereka gagal melawan penyakit dan dipanggil Allah S.W.T, selesai urusan dunia mereka dan mereka akan hidup di dunia baru mereka.

Daripada Ummu Salamah katanya, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:  “Jika ada diantara kalian tertimpa musibah, hendaklah dia berkata yang maksudnya: “إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ , Sesunggunya kami milik Allah dan sesunguhnya kami akan kembali pada-Nya. Ya Allah aku hanya menghitung pahala musibah ini di sisi-Mu, maka berikanlah kepadaku pahala itu, dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik dari musibah ini.” (Riwayat Abu Daud, no. 3119)

Ketika mati Abu Salamah, suami yang dia cintai, Ummu Salamah menyatakan, “Dia berdoa seperti diatas tadi dan dia yakin bahawa Allah S.W.T akan gantikan dengan suami yang lebih baik dari Abu Salamah. Tetapi persoalannyanya, siapa penganti Abu Salamah yang lagi terbaik. Ternyata, diberi penganti yang lebih baik daripada Abu Salamah, Rasulullah S.A.W.

Menurut Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma’ad, beliau menyebutkan beberapa perkara yang kalau direnungkan akan menjadikan; musibah yang menimpa, bencana yang datang, takdir buruk yang menghempaskan, akan mudah diterima dan ringan untuk dijalani. Ini terapi atau tip dari Ibnu Qayyim, supaya tatkala kita  terkena musibah atau tatkala orang lain yang terkena musibah, kita boleh menerapi mereka, supaya musibahnya itu jadi ringan. dengan enam cara di bawah:

  1. Dia melihat kepada takdir atau ujian yang menimpanya. Dia perhatikan bahawa, apa yang Allah S.W.T tinggalkan padanya selain dari musibah yang menimpa, jadi dia bersabar kerana dia sedar bahawa Allah S.W.T boleh hempaskan kepadanya musibah yang lebih besar dan lebih buruk dari apa yang dia terima.

Contoh; Urwah bin Zubair ditimpa dua musibah besar dalam satu waktu, sebelah kakinya dipotong kerana penyakit dan kematian anak kesayangannya. Hal ini boleh saja menyebabkan seseorang itu menangis dan hilang pertimbangan. Tetapi tidak bagi Urwah. Dia tetap tenang, reda dengan qada dan qadar Ilahi.

Semasa Khalifah Walid ibnu Abdul Malek mengadakan majlis khas untuknya kerana melalui dua ujian besar itu, Urwah berkata, “Ya Allah, segala puji bagi-Mu, aku mempunyai empat anggota kaki dan tangan, kemudian engkau ambil satu, kini hanya tinggal tiga.

Apa yang kita ada semua milik-Nya. Sampai masa, ia akan kembali kepada Yang Maha Pencipta. Urwah laluinya dengan rasa syukur dan memuji Ilahi.

“Dan aku mempunyai tujuh anak, kemudian engkau ambil satu, kini mereka tinggal enam orang. Engkaulah Tuhan yang memberi penyakit setelah memberi kesihatan, dan Engkaulah Tuhan yang mengambil apa yang telah Engkau berikan. Segala puji bagi-Mu, hanya kepada Engkau ya Allah.”

  1. Dia berusaha menghibur hatinya dengan melihat yang di sekitarnya, dari orang-orang yang terkena musibah.

Hal ini untuk menyedarkan diri, bahawa bukan kita sahaja yang terkena musibah. Masih ramai orang di luar sana yang terkena musibah dan teruji dengan beratnya. Maka apabila mereka melihat ke kanan dan ke kiri, dan mereka akan menyedari bahawa ada pelbagai musibah yang melanda kehidupan manusia. Maka insya-Allah, mereka akan dapat menghiburkan dirinya. Yer!, begitulah biasanya lumrah kehidupan, hari ini kita ketawa dan tersenyum, mungkin esok kita akan menangis dan bersedih dan begitulah putar balik dalam kehidupan ini.

Fiman Allah S.W.T yang bermaksud,  “Sesungguhnya manusia itu diciptakan bersifat gelisah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat.” (al-Maarij : 19-22)

Ayat al-Quran di atas memberi gambaran sikap manusia yang akan berkeluh kesah dan dalam kebimbangan apabila diuji dengan sesuatu musibah, seolah-olah tiada jalan keluar dari masalah tersebut. Namun, ayat di atas menceritakan bahawa masalah kebimbangan tersebut hanya boleh dihadapi dengan tenang oleh orang yang beriman, orang yang mendirikan solat.

  1. Dia harus tahu, bahawa emosinya, amarahnya, tidak akan dapat menolak atau merubah musibah yang telah ditetapkan Allah S.W.T. Malahan akan menyebabkan musibah semakin parah.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud,  “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah S.W.T itu amat dekat.” (Al-Baqarah : 214)

Ayat di atas mengandungi makna bahawa manusia yang punyai iman yang kuat, akan cekal menghadapi setiap ujian hidup. Manakala orang yang lemah imannya akan mudah mengalami tekanan jiwa. Tambahan lagi golongan yang lemah imannya memiliki sifat mudah kehilangan kepercayaan diri dan selalu berburuk sangka kepada Allah S.W.T dan orang lain. Bahkan kesan daripada pemikiran negatif ini dapat mengundang keburukan, penyakit dan tekanan emosi yang berbahaya. 

Jadi pergilah menziarahi orang-orang yang susah, orang-orang yang terkena bencana dan orang-orang yang sakit. Di Ketika itu, kita akan rasa bersyukur bahawa ada orang lain yang lebih berat ujiannya daripada kita. 

  1. Hendaklah kita tahu tentang ruginya kehilangan pahala sabar dan kehilangan pahala menerima takdir.

Apa pahalanya?: Allah S.W.T berselawat kepada orang-orang yang sabar dan memberikan rahmat dan petunjuk. Kesan kehilangan pahala itu lebih besar lagi dari musibah yang menimpa.

Contoh; Ada orang di ketika terkena musibah, tidak menyebut, إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ  dan tidak menerima hakikat takdir yang menimpanya. Sedangkan kalau dia tidak sabar maka dia akan kehilangan hal yang lebih besar iaitu selawat daripada Allah S.W.T, rahmat dan hidayah-Nya. 

Inilah hakikatnya musibah yang lagi besar, yang menghempas manusia yang tidak sabar.

  1. Sikap stressmu, emosimu, marahmu akan membuatkan musuh-musuhmu bertepuk tangan gembira.

Musuh-musuh kita akan gembira terutama syaitan dengan sikap kita itu tetapi Allah S.W.T akan marah kerana kita kehilangan pahala sabar. Sekiranya kita bersabar dan berharap pahala, hal ini akan membuatkan Allah S.W.T reda kepada kita dan teman-teman sekeliling akan turut gembira dengan kejayaan kita dapat melawan hasutan hawa nafsu dan belitan syaitan tetapi musuh-musuh akan terus sakit hati.

  1. Hendaklah dia tahu bahawa apa yang dihasilkan dari kesabaran dan berharap pahala daripada Allah S.W.T itu akan menjadi satu  kelazatan atau ketenangan.

Kegembiraannya itu akan berkali-kali berlipat ganda, dari kesedihannya terkena musibah. 

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, “Jika anak seorang hamba meninggal, Allah S.W.T berfirman kepada para malaikat-Nya, ‘Kalian telah mencabut anak hamba-Ku.’ Mereka menjawab, ‘Ya.’ (Allah S.W.T) berfirman, ‘Kalian telah mencabut buah hatinya.’ Mereka menjawab, ‘Ya.’ (Allah S.W.T) bertanya, ‘Apa yang dikatakan hamba-Ku.’ Mereka menjawab, ‘Dia memuji-Mu dan mengucapkan istirja ( إِنَّا ِلِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ).’ Allah S.W.T berkata, ‘Bangunkanlah untuk hamba-Ku satu rumah di Syurga, dan berilah nama dengan Baitulhamdi (rumah pujian)’.” (HR. Tirmidzi)

Bayangkanlah maksud hadis di atas, menyatakan tentang Allah S.W.T memberikan rumah pujian dan syafaat daripada anaknya yang meninggal. Lihatlah betapa besarnya anugerah Allah S.W.T kepada mereka yang bersabar menerima musibah. 

Sabda Rasulullah S.A.W lagi yang bermaksud, “Pada hari kiamat kelak, apabila orang yang sihat melihat orang yang banyak diuji (semasa di dunia dan sabar atas ujian tersebut) mendapat pahala yang banyak, (maka orang yang sihat) sangat berharap agar kulit mereka dikoyak dengan gunting semasa di dunia dahulu,” (HR al-Tirmizi)

Sebahagian salaf ada  mengatakan, “Kalau bukan kerana musibah-musibah dunia ini, mungkin kita pada hari kiamat akan jadi orang-orang yang muflis.”

Musibah ini menghapuskan dosa, mengangkat derajat, mengingatkan kita kepada Allah S.W.T dan membuat kita semakin banyak istighfar.

  1. Hendaklah dia tahu bahawa yang memberikan bala/ujian  kepada kita adalah Allah S.W.T, yang Paling Bijak diantara yang paling bijak.

Allah S.W.T Maha Pengasih di antara yang maha pengasih. Dan ketahuilah bahawa Allah S.W.T menimpakan musibah bukan untuk membinasakan kita, atau untuk mengazab kita, atau untuk menghancurkan kita tetapi dengan tujuan untuk melihat, sama ada kita mahu sabar atau tidak, kita reda atau tidak.

Allah S.W.T sangat suka untuk mendengar doa-doa daripada hamba-hamba-Nya. Allah S.W.T ingin melihat kita sujud kepada-Nya. Allah S.W.T ingin melihat kita bermunajat dan meminta-minta kepada-Nya. Allah S.W.T ingin melihat kita melepaskan diri dari semua kekuatan,  pergantungan dan sandaran kecuali kepada-Nya.

  1. Seandainya dia tidak terkena musibah, maka manusia akan ditimpa penyakit yang menakutkan. 

Apakah penyakit itu?  Ianya adalah penyakit sombong, ujub, angkuh, hatinya jadi keras, yang semuanya ini akan jadi penghancur dan pembinasa dia di dunia dan akhirat. 

Maka di antara bentuk rahmat Allah S.W.T;

Allah S.W.T memperhatikan kita  pada waktu-waktu tertentu dan memberikan ubat  (dalam bentuk musibah) yang akan menyelamatkannya dari penyakit-penyakit yang buruk yang disebutkan di atas dan untuk menjaga kebenaran pengabdiannya kepada Allah S.W.T. Musibah itu juga sebagai detox penyembuh racun-racun yang ada di tubuh. Kalau tidak kamu akan hancur dengan sifat-sifat mazmumah itu, seperti Firaun dan Qarun.

Hempasan musibah itu pahit, tetapi hasilnya manis. Seseorang yang berjuang di dunia dengan sungguh-sungguh, dia akan merasai kenikmatan Syurga di akhirat. Jadi hal ini tergantung, bagaimana kita memaksa hati untuk reda dengan setiap ketentuan Allah S.W.T.

Dari Abu Hurairah R.A, bahwasanya Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Neraka dikelilingi dengan syahwat (hal-hal yang menyenangkan nafsu), sedang surga dikelilingi hal-hal yang tidak disenangi (nafsu).” (HR Bukhari (6006))

Penutup

Setiap musibah atau takdir yang menghempas dalam kehidupan kita, hendaklah diterima dan bersabar, kerana semuanya datang daripada Allah S.W.T. Kita tiada pilihan. Sama-samalah kita melaksanakan hal ini, iaitu:

1. Mengikut petunjuk Allah S.W.T dalam senang dan susah, dan mengikhlaskan ketaatan semata-mata kerana-Nya.

2. Mencari dan menambah ilmu agama hingga faham tanpa dibatasi usia.

3. Bertaubat daripada dosa-dosa dan membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah (terkeji), dan menghias dengan sifat-sifat mahmudah dalam diri.

4. Mengamalkan amalan-amalan sunnah, doa dan zikir yang berterusan.

5. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan semua makhluk mengikut batas-batas agama.

6. Merancang hari esok yang lebih baik dengan meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T melalui mu’ahadah (mengingat perjanjian dengan Allah S.W.T), mujahadah (bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah dan amal soleh), muraqabah (merasa selalu diawasi oleh Allah S.W.T), muhasabah (menghitung diri) dan mu’aqabah (menghukum diri atas kesilapan yang dilakukan). 

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 22/3/2024