Tiada undang-undang kebal lindungi kesucian kalimah Allah

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

MELAKA: Tragedi penjualan stoking yang tertera kalimah Allah yang dikesan dijual di kedai serbaneka KK Mart baru-baru ini adalah akibat daripada tiadanya kekebalan undang-undang yang diberikan terhadap kesucian kalimah nama Allah.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, ia adalah antara sebahagian akibat langsung daripadanya yang menyebabkan terhakisnya rasa hormat terhadap nama-nama Allah yang mulia.

“Zat ketuhanan terdedah kepada provokasi penghinaan. Ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang hampir 70 peratus rakyatnya beragama Islam.

“Malah PERIKATAN NASIONAL (PN) pernah mengusahakan perkara ini melalui usul rang undang-undang persendirian yang diusulkan oleh saya sendiri sebagai Ahli Parlimen Jasin demi melindungi kesucian kalimah Allah,” ujarnya.

Jelasnya, usul tersebut adalah suatu usaha untuk memberikan kekebalan undang-undang kepada kalimah Allah.

Tambah beliau, tragedi itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh umat Islam di negara ini apabila kenyataan pihak pengurusan kedai serbaneka KK Mart dan pembekalnya yang hanya menyatakan bahawa mereka seolah-olah tidak mengetahui bagaimana kesilapan itu berlaku.

Kata Tuan Guru Zulkifli, ia seolah-olah mereka tidak melakukan pemeriksaan yang teliti terhadap produk yang dikeluarkan atau yang dijual.

“Adalah sesuatu yang pelik jika sebuah syarikat yang mempunyai sebanyak 881 cawangan dengan sistem pengauditan dan pemantauan yang canggih boleh melakukan kesilapan seperti itu,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, kehadiran sejumlah pengguna media sosial bukan Muslim yang mengambil kesempatan memberikan komen-komen yang sinis dan memperolokkan situasi itu tambah melukakan hati umat Islam dan memburukkan lagi keadaan.

“Kebiadaban tindakan sejumlah netizen ini seolah-olah tidak berasa bimbang terhadap kemarahan umat Islam dan tindakan undang-undang daripada kerajaan.

“Malah sehingga kini tidak ada sebarang tindakan tegas yang dilihat diambil oleh pihak kerajaan dalam mengatasi isu yang semakin panas dengan sikap biadab sesetengah netizen yang masuk campur mempertahankan pihak kedai serbaneka tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Tegasnya, PAS negeri memandang sangat serius terhadap isu itu dan menegaskan bahawa sebarang permohonan maaf adalah tidak mencukupi sebagai jalan penyelesaian kepada isu ini.

“Kami mahu melihat adanya tindakan undang-undang yang keras terhadap syarikat yang melakukan perkara ini termasuk kepada pengguna-pengguna media sosial yang memberikan komen-komen biadab terhadap isu ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -