Kelantan juarai isu berkaitan kebajikan OKU

Mohammad Faizal Che Yusof
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan dianggap menjuarai isu-isu berkaitan kebajikan golongan orang kelainan upaya (OKU) di negara ini apabila melaksanakan pelbagai program dan aktiviti.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, kerajaan negeri berusaha menterjemah aspirasi tersebut dalam pentadbiran dan pelaksanaan pembangunan insaniah.

Katanya, usaha itu bermula dengan melaksanakan Gagasan OKU Muqarrabun sehingga mendapat penghargaan daripada istana pada 20 Mac 2017.

“Usaha tersebut dimuktamadkan sehingga lahir Dasar OKU Muqarrabun (DOKUM). DOKUM menjadi sumber penting bagaimana Islam melihat keberadaan individu OKU di tengah-tengah masyarakat.

“DOKUM harus dilihat sebagai usaha menghidupkan suasana kegemilangan Islam berkaitan OKU yang kini mencecah pendaftarannya seramai 697,439 orang pada 29 Februari lalu,” katanya di sini.

DOKUM dilancar pada 20 Jun 2023 merupakan menifestasi keupayaan Kelantan dalam mengolah merakyatkan aspirasi Membangun Bersama Islam bagi segmen OKU.

Mohammad Faizal yang juga peguam berkata, Kelantan terbukti berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan khusus untuk komuniti OKU.

Menurutnya langkah itu menjadi kenyataan kerana kepimpinan ulama di Kelantan mempunyai agenda yang jelas bagi melaksanakan Islam dalam pentadbiran kerajaan dan masyarakat.

Kata beliau juga kerajaan negeri hanya mengolah segala nas yang terkandung dalam al Quran dan hadis serta disesuaikan dengan keadaan semasa.

“Usaha yang dilakukan kerajaan Kelantan bagi memastikan seseorang OKU mendekatkan diri kepada Allah Taala bagi menyempurnakan kehidupan sebagai seorang Muslim.

“Lebih 1,400 tahun lalu, Islam membawa suatu pemahaman baharu kepada masyarakat dunia dalam melihat keberadaan OKU di tengah-tengah masyarakat,” ujarnya.

Menurutnya juga Islam mengajar sikap syukur, reda dan sabar bagi melahirkan seorang OKU yang beramal soleh dan berbakti kepada masyarakat. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -