97.5 peratus premis bazar Ramadan di Kelantan bersih

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan sebanyak 97.5 peratus premis dan bazar Ramadan berada pada tahap bersih.

- Advertisement -

Pengarahnya, Dato’ Dr Zaini Hussin berkata, pemeriksaan dibuat ke atas 1,027 gerai dan 1,672 pengendali makanan di bazar Ramadan seluruh Kelantan.

Manakala sebanyak 95.2 peratus iaitu melibatkan 1592 pengendali makanan mendapat suntikan anti tifoid dan 91 peratus atau seramai 1522 menghadiri kursus Latihan Pengendali Makanan (LPM).

“Jabatan Kesihatan Negeri melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) cakna terhadap isu kepentingan keselamatan makanan yang dijual sepanjang Ramadan.

“Jabatan ini berkolaborasi dengan pelbagai agensi terutama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan NGO bagi memperkukuh dan melaksanakan aktiviti pemantauan sebelum dan semasa Ramadan,” katanya selepas majlis pelancaran walkabout kempen keselamatan makanan di tapak bazar Ramadan, Lembah Sireh hari ini.

Menurutnya juga tahun ini sebanyak 69 bazar Ramadan berdaftar di bawah PBT dengan 3,824 petak perniagaan.

Kata beliau pihaknya menubuh 46 pasukan pemantau yang terdiri daripada 180 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan.

“Pemeriksaan melibatkan penjaja sementara bagi memastikan makanan yang dijual selamat dimakan dan tidak menjadi punca kejadian penyakit bawaan air seperti demam kepialu, taun dan keracunan makanan,” ujarnya.

Dr Zaini juga berkata, JKNK mengeluarkan 80 notis kompaun bernilai RM8,700 kepada pengendali makanan yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Antara kesalahan yang dilakukan termasuk ketidakpatuhan pakaian pengendali makanan seperti tidak memakai apron, kasut, penutup kepala dan pakaian tidak bersih.

Beliau juga berkata, pihaknya menerima satu notifikasi kejadian keracunan makanan pada 14 Mac lalu di dewan asrama sebuah sekolah di Kuala Krai.

“Kesemua 76 pelajar dirawat di hospital berdekatan sebagai pesakit luar. Namun setakat ini kita belum menerima sebarang kes keracunan makanan  melibatkan makanan di bazar Ramadan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -