4 beranak kaum Tionghua puasa sejak Ramadan lepas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Biarpun bukan beragama Islam, namun empat beranak kaum Cina mengakui berpuasa pada Ramadan tahun ini agak mencabar kerana cuaca panas.

- Advertisement -

Doria Yap, 55, bersama tiga anak perempuannya, Saffron Kang, 32; Evonne Kang, 28, dan Sharon Kang, 22, turut bersahur seperti orang Islam.

Mereka mengakui teruja setiap kali datang Ramadan kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk melatih diri menahan lapar dan dahaga.

“Tahun ini merupakan tahun kedua kita berpuasa, namun tahun ni banyak perubahan terutama dari segi kesihatan, malah turut rasa tubuh lebih cergas dan ringan sepanjang berpuasa.

“Bagaimanapun cabaran tahun ini agak berbeza kerana kita rasa cepat dahaga. Kalau tahun lepas jam 5 petang baru kita rasa dahaga tetapi tahun ini pada jam 10 pagi pun sudah rasa dahaga mungkin disebabkan cuaca panas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di premis perniagaannya di B Vaggie Food, Jalan Sri Cemerlang, di sini, hari ini.

Doria bersama tiga anaknya mula melatih diri berpuasa sejak Ramadan tahun lepas disebabkan merasakan tubuh badan lebih sihat dan ringan.

Beliau mengakui tujuan utama berpuasa untuk menjaga kesihatan dan turut merasa lebih aktif dalam melakukan aktiviti harian walau pun terpaksa menahan rasa lapar dan dahaga.

“Kita turut bertanya mengenai cara-cara bersahur dan berbuka puasa kepada pekerja yang beragama Islam,” ujarnya.

Evonne Kang yang merupakan anak kedua turut mengakui kelebihan berpuasa yang bukan sahaja memberi kesihatan tetapi turut melatih tentang sabar.

“Bila kita berpuasa kita akan rasa bagus dan badan turut rasa ringan malah ia turut melatih diri untuk bersabar.

“Rakan-rakan Muslim turut memberi sokongan dan semangat buat saya untuk terus bersabar menahan rasa dahaga,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/3/2024

- Advertisement -