Kementerian digesa upayakan golongan rentan kaum India

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) digesa mengupayakan golongan atau kaum India yang rentan dengan peruntukan yang dipohon untuk diluluskan sebanyak RM100 juta

- Advertisement -

Sehubungan itu, Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mahu kerajaan memfokuskan kepada pendidikan dan pembangunan remaja India termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk mencegah mereka daripada terlibat dengan gengsterisme.

“Mekanisma untuk benar-benar mencapai objektif pengupayaan etnik India menyelamatkan generasi muda supaya mereka diberi peluang, ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan kecenderungan dan potensi setiap remaja terutama bidang ekonomi, kraftangan dan pendidikan,” ujar beliau.

Dr Halimah mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2023) 2024 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

“Menurut DoSM (Department of Statistics, Malaysia) 2022, 6.6 peratus penduduk Malaysia adalah daripada kaum India. Ini bersamaan dengan jumlah 2.2 juta orang. Ramai mungkin boleh bersetuju ramai lagi golongan marhaen di kalangan saudara, kaum India.

“Saya difahamkan objektif utama kewujudan inisiatif MITRA ini ialah untuk membantu mengupayakan golongan marhaen daripada kaum India untuk mencapaikan satu taraf hidup yang lebih baik dan lebih progresif.

“Namun malangnya MITRA dibelenggu kontroversi dan golongan marhaen sasaran tidak dapat ditransformasikan keadaan kitaran kemiskinan mereka pusing-pusing antara pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Perpaduan. Jadi apa jadi kepada yang disasarkan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -