Stokin bertulis kalimah Allah – Permohonan maaf tidak cukup, perlu tindakan paling tegas

- Advertisement -

TRAGEDI penjualan stoking yang tertera kalimah Allah berjenama Miranosock yang dikesan dijual di cawangan kedai serbaneka KK Mart di Bandar Sunway, Petaling Jaya seperti yang dilaporkan media-media massa adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh umat Islam di negara ini.

Kenyataan pihak KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) dan pembekalnya yang hanya menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui bagaimana kesilapan itu berlaku seolah-olah mereka tidak melakukan pemeriksaan yang teliti terhadap produk yang mereka keluarkan atau yang mereka jual.

Adalah sesuatu yang pelik jika sebuah syarikat yang mempunyai sebanyak 881 cawangan dengan sistem pengauditan dan pemantauan yang canggih boleh melakukan kesilapan seperti itu.

- Advertisement -

Selain itu, kehadiran sejumlah pengguna media sosial bukan Muslim yang mengambil kesempatan memberikan komen-komen yang sinis dan memperolokkan situasi ini tambah melukakan hati umat Islam dan memburukkan lagi keadaan.

Kebiadaban tindakan sejumlah netizen ini seolah-olah tidak berasa bimbang terhadap kemarahan umat Islam dan tindakan undang-undang daripada kerajaan.

Malah sehingga kini tidak ada sebarang tindakan tegas yang dilihat diambil oleh pihak kerajaan dalam mengatasi isu yang semakin panas dengan sikap biadab sesetengah netizen yang masuk campur mempertahankan pihak kedai serbaneka tersebut.

Kita melihat bahawa terjadinya peristiwa ini adalah kesan yang berlaku apabila penjagaan kesucian kalimah Allah tidak diberikan kekebalan undang-undang.

Maka ini adalah antara sebahagian akibat langsung darinya. Ia menyebabkan terhakisnya rasa hormat terhadap Nama-Nama Allah yang mulia.

Zat ketuhanan terdedah kepada provokasi penghinaan. Ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah negara yang hampir 70 peratus rakyatnya beragama Islam.

Malah Perikatan Nasional (PN) pernah mengusahakan perkara ini melalui usul rang undang-undang persendirian yang diusulkan oleh saya sendiri sebagai Ahli Parlimen Jasin demi melindungi kesucian kalimah Allah.

Ia adalah suatu usaha untuk memberikan kekebalan undang-undang kepada kalimah Allah.

PAS Negeri Melaka memandang sangat serius terhadap isu ini dan menegaskan bahawa sebarang permohonan maaf adalah tidak mencukupi sebagai jalan penyelesaian kepada isu ini.

Kami mahu melihat adanya tindakan undang-undang yang keras terhadap syarikat yang melakukan perkara ini termasuk kepada pengguna-pengguna media sosial yang memberikan komen-komen biadab terhadap isu ini.

YB Tuan Guru Hj Zulkifli Ismail
Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Pesuruhjaya PAS Melaka
Ahli Parlimen Jasin
– HARAKAHDAILY 19/3/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -