MAIK hulur bantuan elak penduduk di Gaza kelaparan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalur sumbangan berjumlah RM150,000 kepada NGO I Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach) untuk melaksanakan Misi Khas Ramadan G4Z4 2024.

- Advertisement -

Menurut MAIK bantuan diuruskan Pengarah iReach, Johan Ariff Ismail dengan kerjasama NGO di Palestin supaya bantuan diterima penduduk di sana.

Kata beliau rakyat di bumi Gaza perlu dibantu dalam apa jua cara supaya makanan sempena Ramadan dapat dinikmati mereka.

“Dengan kerjasama iReach, MAIK menyumbangkan makanan siap dimasak, wang tunai dan makanan lain bagi memudahkan penduduk khususnya di Rafah, Tengah Gaza dan Jabalia.

“Keperluan itu dibawa masuk ke Semenanjung Gaza menggunakan jalan darat dan kotak makanan untuk diterima 2,080 penduduk yang sedang bergelut dengan kebuluran.

“Menerusi bantuan MAIK kali ini kami turut menyediakan bekalan gandum dan bekalan tersebut dipastikan boleh bertahan sehingga dua bulan bagi setiap keluarga,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

MAIK juga berkata, keadaan di Gaza masih dihujani dengan bedilan dan iReach memberi jaminan Kedutaan Palestin di Kaherah akan memastikan kesemua bekalan tersebut sampai secepat mungkin.

“Sama-sama kita doakan supaya kenderaan yang membawa makanan kepada saudara kita di sana selamat tiba,” katanya.

Sementara itu, MAIK turut berkolaborasi dengan Pertubuhan Viva Palestina Malaysia bagi menyediakan makanan untuk penduduk di Rafah berbuka puasa.

“Makanan itu dimasak oleh pertubuhan terbabit dan diagihkan kepada kira-kira 400 keluarga terutamanya kanak-kanak.

“Wakil pertubuhan berkenaan mengucap terima kasih kepada MAIK yang menyalur bantuan dan sedikit sebanyak dapat melegakan lapar dan dahaga penduduk di bumi bergolak tersebut,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -