JK Khas Mengenai Rasuah perlu libatkan pembangkang

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan melibatkan anggota pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang ditubuhkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

- Advertisement -

Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkata, ahli-ahli itu berperanan penting dalam memerangi rasuah juga memastikan integriti yang tinggi dalam pentadbiran negara, namun tiada penglibatan seorang pun daripada pembangkang.

“Jadi pandangan dan fungsi pihak pembangkang sendiri dalam pentadbiran kerajaan Madani ini tidak diberi, ini dalam proses kita kena lihat. Pertanyaan saya kenapa pihak pembangkang tidak dilantik dalam JKMR ini.

“Kalau kita lihat fungsi JKMR ini sangat besar, yang pertama memeriksa laporan tahunan suruhanjaya, memeriksa ulasan lembaga penasihat pencegahan rasuah serta tentang perjalanan oleh suruhanjaya akan fungsinya di bawah akta SPRM, seterusnya mendapat penjelasan dan penerangan mengenai laporan tahunan suruhanjaya dan ulasan lembaga penasihat pencegahan rasuah.

“Jadi peranan jawatankuasa ini tidak akan benar-benar berfungsi kalau hanya dilantik daripada pihak kerajaan, macam mana ada semak dan imbang,” ujarnya semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan Pertama 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Kata beliau, dalam banyak kes rasuah bukan sahaja melibatkan duit, penyalahangunaan kuasa juga boleh berlaku.

“Kalau kita lihat maksud rasuah ini bukan sahaja melibatkan wang tapi juga melibatkan suapan jawatan, dalam syeksen 3 SPRM menunjuk bahawa suapan termasuk jawatan, kalau kita memegang jawatan kita tidak boleh melantik anak kita dalam jawatan kita pegang sebagai pegawai kerajaan.

“Perkara ini harus diberi penekanan dan kerana tidak adanya wakil pembangkang dalam jawatankuasa ini jadi perkara begini akan berlaku seterusnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/03/2024

- Advertisement -