Bekalan beras putih tempatan masih tiada penyelesaian

Senator Musoddak Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bekalan beras putih tempatan masih tiada jalan penyelesaian sehingga ke hari ini.

- Advertisement -

Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata, kerajaan dilihat gagal menyelesaikan isu tersebut kerana masih kurang di pasaran.

“Apakah kekangan sebenar yang dihadapi  kementerian sehingga hari ini, atau apakah  kementerian masih dalam sindrom penafian bahawa negara sedang berhadapan dengan kemelut penipuan pengeluaran beras putih tempatan yang kritikal.

“Apa yang lebih mendukacitakan, ketika rakyat mengharapkan agar ada penyelesaian yang lebih tuntas terhadap isu pengeluaran beras putih tempatan, tiba-tiba ada pihak mengumumkan pengenalan satu gred beras iaitu Beras Putih Malaysia Madani dengan harga RM30 bagi 10 kilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Menurut Musoddak, ironinya ia diumumkan selepas beberapa hari kementerian malah Perdana Menteri sendiri menafikannya dan masih di peringkat perbincangan.

“Persoalannya, mengapa tidak diselaras perkara ini sedangkan ia dipertanggungjawabkan di bawah Jawatankuasa Kos Sara Hidup (NACCOL).

“Walaupun begitu, masih banyak persoalan yang masih gagal terjawab meskipun dengan pengenalan Beras Putih Malaysia Madani ini.

“Ia bukan penyelesaian kepada isu bekalan beras putih tempatan yang terus menghilang dalam pasaran walaupun industri padi negara tidak pernah lumpuh,” ujarnya lagi.

Beliau juga memetik titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah ketika pembukaan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Kedah pada 4 Mac lalu berkaitan isu tersebut.

“Saya ingin menyentuh intipati titah Tuanku Sultan Kedah ini yang saya fikir seiring dengan apa yang dititahkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Apabila kita membahaskan mengenai isu padi dan beras ini, jarang sekali kita menyentuh mengenai nasib pesawah yang membanting tulang empat kerat demi memastikan keterjaminan keselamatan makanan negara.

“Kita hanya memikirkan nasib beras di rumah tanpa memikirkan nasib pesawah yang terus terpinggir dan sengaja dipinggirkan dalam industri,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2024

- Advertisement -