Tingkat usaha hadapi serangan fahaman bercanggah Islam

Nadzir Helmi
- Advertisement -

MELAKA: Malaysia kini semakin terdedah kepada serangan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi berkata semua yang berlaku itu menuntut aktivis-aktivis PAS untuk melipatgandakan usaha dan gerak kerja bagi berhadapan dengan cabaran tersebut.

“Kita kena tahu negara kita ini semakin lama semakin terbuka pintunya sedikit demi sedikit. Terbuka dari segi apa? Dari pelbagai sudut, serangan pemikiran liberalisme, sekularisme.

“Belum lagi cerita tentang fikrah suka sesama jantina. Ini berlaku sedikit demi sedikit tanpa kita sedari,” katanya ketika menyampaikan ceramah ‘Ihya Ramadan Dan Isu-isu Semasa’ di Balai Islam Bukit Rambai, di sini, malam tadi.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Muhamad Rajab Akmal Abdul Halim.

Tambah Nadzir, semua ahli PAS harus menjadikan roh Ramadan sebagai tempat menggembleng semua kekuatan yang dimiliki dalam keadaan kerja yang banyak menunggu.

Menurutnya, ia selaras dengan peranan PAS yang bukan sekadar parti siasah, tetapi juga adalah parti dakwah dan tarbiah.

“Jadi gerak kerjanya ke mula sekaranglah. Kalau kita sebut tentang suhu politik negara ia tidak akan habis. Sebab tahun depan insya-Allah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Lepas tu masuk pula Sarawak. Lepas tu masuk pula Melaka, Johor dan PRU.

“Dalam keadaan sekarang ini kami menjangkakan Kerajaan Madani akan ambil usia paling pendek untuk diadakan pilihan raya,” ujarnya.

Beliau menyatakan, semua itu berpunca daripada PRN yang berlaku secara berasingan menyebabkan situasi politik akan sentiasa tegang setiap kali berlakunya apa-apa pilihan raya.

“Pendek kata suhu politik negara tidak akan sejuk. Apatah lagi kalau kita tengok sekarang ini mood rakyat betul-betul mengharapkan keajaiban untuk apa yang ada sekarang ini ditukar.

“Cuma masalahnya sekarang pertarungan yang ada sekarang bukan pertarungan rakyat. Pertarungan rakyat nanti waktu pilihan raya. Waktu itulah kita akan yakinkan rakyat untuk pilih siapa.

“Sekarang bukan situasi pertarungan rakyat, tetapi pertarungan pemimpin-pemimpin nak bawa suara rakyat kepada kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2024

- Advertisement -