Projek tangani banjir Rantau Panjang perlu disegerakan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempercepatkan projek fasa dua di Rantau Panjang bagi membendung masalah banjir, demikian gesa Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang).

Menurut beliau, kebiasannya banjir berlaku pada bulan 10 setiap tahun di Rantau Panjang dan kerugian akibatnya mencecah ribuan Ringgit.

- Advertisement -

“Jadi sekarang ni apakah strategi untuk mempercepatkan fasa dua supaya dapat bendung terutama banjir yang bakal tiba untuk hujung tahun ini. Minta penjelasan,” soal beliau.

Beliau mengemukakan perkara itu ketika mencelah Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air semasa sesi Jawapan oleh YB Menteri-menteri ke atas Perbahasan Titah Diraja di sini sebentar tadi.

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, salah satu cabaran dalam pelaksanaan projek khususnya di Kelantan sepertimana yang beliau katakan sebelum ini projek sudah diluluskan, kontraktor sudah dilantik.

“Tapi bila masalah pelaksanaan kadang-kadang masalah pengambilan tanah juga menjadi isu sebab proses itu akan melambatkan. Ini juga berlaku di Sungai Golok dan sebagainya.

“Sebab itu yang kita nak bincangkan dengan kerajaan negeri bagaimana keseluruhan proses itu kita dapat percepatkan, pengambilan tanah, isu-isu di PBT, isu kelulusan permit dan sebagainya.

“Dan kita akan berbincang mencari jalan bagaimana kita nak percepatkan keseluruhan proses. Bukan sahaja proses dari segi design (rekaan) dan perolehan, tapi juga proses pelaksanaan di lapangan yang perlu kita tangani.

“Insya-Allah kita akan mengambil tindakan tersebut,” jawab Fadillah. – HARAKAHDAILY 11/3/2024

- Advertisement -