Solidariti bersama Dr Teo Kok Seong pertahan pendidikan nasional

Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengambil pendirian berani kerana benar takut kerana salah dalam menyatakan pendirian jitu di belakang ahli akademik merangkap Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.

- Advertisement -

Ini berhubung pendapat beliau berkenaan masalah yang timbul daripada kawalan yang lemah terhadap sistem pendidikan vernakular di Malaysia.

“Tanpa menafikan kedudukan sekolah vernakular yang telah lama menjadi salah satu pilihan dalam sistem pendidikan negara, namun kita perlu mengakui kelemahan sistem pendidikan kita dalam mewujudkan kesatuan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan lantaran penguatkuasaan undang-undang dan budaya bernegara yang sangat lemah,” ujar Naib Ketua DPPM, Ustaz Hanif Jamaluddin dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, ahli akademik dan ilmuan negara lebih-lebih lagi yang berkredibiliti dan berpengalaman panjang seperti Dr Teo Kok Seong bukan ahli politik, ahli akademik seperti beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan tanpa asas sandaran yang kukuh dan fakta yang jelas.

Ini, ujarnya berbeza pula dengan ahli politik, lagi-lagi yang sinonim dengan perangai cauvinis dan ekstremis daripada parti seperti DAP yang sudah berkali-kali mengeluarkan kenyataan dan membuat aksi-aksi yang jelas begitu biadab dan tidak sensitif terhadap realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

Katanya, tindakan Teresa Kok yang melabelkan individu dengan kefahaman bernegara dan semangat patriotisme yang tinggi seperti Dr Teo Kok Seong sebagai seorang yang rasis bahkan menggesa laporan PDRM dibuat ke atasnya adalah satu perbuatan keterlaluan dan kurang ajar.

“Apakah mempertahankan sistem pendidikan nasional iaitu sistem sekolah kebangsaan dianggap rasis?

“Sudah tentu tidak sama sekali,” tegasnya.

Justeru, katanya DPPM menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama agar sama-sama mengambil peluang daripada isu itu dengan menilai sebaik-baiknya apa yang penting untuk negara.

“Bagi memastikan Malaysia dapat mara kehadapan untuk mengecap status negara maju, kita tidak boleh berkompromi dalam usaha melahirkan satu kesatuan identiti nasional yang kukuh,” katanya lagi.

Menurutnya, elemen itu tidak akan dapat dijayakan tanpa menerusi sistem pendidikan nasional yang dapat menyatukan semua kaum yang pelbagai.

“Pemuda PAS turut menyatakan sokongan utuh kami kepada Merdeka News, platform akhbar alternatif yang telah dipanggil oleh PDRM untuk disiasat kerana menyiarkan pendirian Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong di platform mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/3/2024

- Advertisement -