Skim i-Sejahtera Kedah sasar pinjaman sehingga RM10,000

Dato' Mohd Salleh Saidin
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan Kedah dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPen) bersedia menyalurkan bantuan pinjaman kepada usahawan merangkumi usahawan belia luar bandar, wanita dan lain-lain.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawan negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, pinjaman melalui Skim Pinjaman Mikrokredit i-Sejahtera Negeri Kedah dibuka untuk permohonan bermula RM3,000 sehingga maksimum RM10,000.

“Walau bagaimana pemberian pinjaman ini diberikan kepada pemohon (usahawan) yang mempunyai kelayakan sepertimana ditetapkan,” kata beliau menjawab soalan Baddrol Bakhtiar (PAS-Gurun) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.

Baddrol pada soalan lisan berkenaan memohon penjelasan kerajaan negeri berkaitan skim pinjaman mikro khususnya kepada belia pinggiran bandar dan kampung.

Menurut Mohd Salleh lagi, antara syarat permohonan mestilah warga negara Malaysia, terbuka kepada semua kaum, berumur antara 18 hingga 55 tahun, waras serta bebas daripada penyakit berjangkit, kronik, kritikal serta tidak muflis.

“Selain itu syarikat mestilah beroperasi di Kedah sahaja dan melebihi satu tahun, berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lokasi perniagaan yang khusus dan sepenuh masa, keutamaan kepada pemohon tidak mempunyai pinjaman perniagaan serta bukan syarikat di bawah Skim Penyusunan Hutang (AKPK),” tambahnya lagi.

Pemohon juga, ujarnya wajib mengemukakan salinan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS)

Unit Pembangunan Usahawan Negeri Kedah (UPUK) ketika membuat permohonan.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan itu menjelaskan, kerajaan negeri menetapkan tempoh antara 36 hingga 60 bulan untuk pembayaran pinjaman dengan caj perkhidmatan dikenakan RM5 sebulan.

Katanya lagi, antara kluster perniagaan yang layak memohon pembiayaan Geran I-Sejahtera, termasuklah makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan, fesyen dan tekstil, automotif, percetakan dan pengiklanan, pertanian serta seni dan kraf.

“Tawaran ini membuktikan kerajaan negeri sangat prihatin dengan keperluan belia terutama bersangkutan bidang keusahawanan dan dalam masa yang sama memahami pelbagai kekangan sama ada dari segi modal, kemahiran dan lain-lain,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -