SHAH ALAM: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) masih tidak dibenarkan menggunakan padang seliaan Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan Gulang-Gulang, Tanjung Karang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata objektif kerajaan negeri adalah untuk membenarkan masyarakat menggunakan premis seperti padang MPKK bagi tujuan aktiviti kemasyarakatan.
Namun begitu, kata beliau, terdapat satu aduan telah beliau terima yang mana pengerusi PASTI Mabaul Huda telah membuat permohonan untuk menggunakan padang tersebut sejak 2018 sehingga kini.
“Apa yang berlaku ialah satu kali pun permohonan ini diterima tanpa ada apa-apa jawapan sedangkan padang itu sudah lama tidak digunakan,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau meluahkan kebimbangan mengenai perkara tersebut lebih-lebih apabila melibatkan bukan sahaja institusi PASTI tetapi juga masa depan dan pendidikan anak-anak negeri ini sendiri.
Ini, kerana beliau sendiri tidak mahu melihat kerajaan negeri seperti mempolitikkan dan menganaktirikan pendidikan anak-anak kecil PASTI terutamanya di kawasan luar bandar.
“Jadi soalan saya adakah kerajaan negeri dapat melihat dan mengkaji semula aduan-aduan sebegini?” katanya.
Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau akan mengambil maklum mengenai perkara tersebut.
Kata beliau, kerajaan negeri tidak pernah mempolitikkan isu sebegitu memandangkan perkara tersebut tidak dibenarkan.
“Walau bagaimanapun saya akan menyemak dan mungkin tarikh yang diberikan bertentangan dengan program-program yang dirancang tetapi sekiranya pihak PASTI atau pihak-pihak lain tidak berpuas hati boleh dilaporkan terus ke pejabat penghulu atau pejabat daerah,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/3/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!