Jelajah Dai dekati keluarga miskin secara tetap

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi memperkasakan program dakwah kerajaan negeri melaksanakan program Jelajah Dai bagi mendekati keluarga penduduk miskin secara tetap.

- Advertisement -

Exco kerajaan negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, keluarga miskin yang dikenal pasti dipilih untuk diziarahi secara tetap oleh dai bagi menyelami masalah yang mereka hadapi.

Katanya, sukarelawan Jelajah Dai disertai pegawai di bawah Portfolio Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta.

“Sukarelawan terbabit akan menziarahi keluarga terbabit secara tetap dalam tempoh tertentu bagi membantu mereka dalam pelbagai perkara.

“Hasil ziarah secara tetap tersebut perkembangan keluarga terbabit dapat dipantau dari dekat terutamanya berkaitan kehidupan seharian dan amalan agama,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, jelajah tersebut dimulakan di DUN Demit dengan diketuai beliau sendiri dengan mendekati keluarga yang dikenal pasti. (Foto atas)

Kata beliau, program tersebut dianggap lebih berkesan kerana keluarga terbabit diziarahi secara tetap dalam tempoh itu bagi memantau perkembangan mereka.

Beliau juga berkata, pada masa akan datang kerajaan negeri akan melibatkan lebih ramai sukarelawan bagi membolehkan Jelajah Dai dapat dilaksanakan lebih meluas di seluruh Kelantan.

“Pada peringkat awal kunjungan diadakan program takruf bagi mengenali dari dekat keluarga terbabit dan menyelami masalah yang mereka hadapi.

“Dan ziarah itu dilakukan secara berterusan sehingga keluarga berkenaan dapat keluar daripada belenggu masalah yang mereka hadapi sebelum ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -