Kaji semula sistem pemilihan kontraktor G1

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka diminta untuk mengkaji semula sistem pemilihan penganugerahan sebut harga bagi kontraktor Bumiputera G1, kata Dr Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban).

- Advertisement -

“Saya menerima banyak keluhan dan rungutan dari mereka kerana tidak mendapat sebarang kerja. Mereka hairan dengan sistem pemilihan kontraktor yang ada sekarang untuk menjalankan kerja yang dijalankan oleh pihak terbabit.

“Sejak mula awal tahun lalu ramai kontraktor yang mengeluh masalah ini. Kalau prosedur lama, tiga atau empat kali setahun kerja cabut undi. Kali ni mereka amat terasa kerja yang semakin kurang,” ujarnya.

Menurut beliau, mereka adalah antara golongan yang terkesan dengan keadaan ekonomi yang meruncing sekarang kerana sangat bergantung kepada kerja-kerja yang ditawarkan oleh pihak kerajaan.

Kata Dr Yadzil, daripada kerja pembaikan hinggalah kepada pembersihan, sebahagian besar mereka adalah kontraktor Melayu yang berjumlah 1,300 orang yang berdaftar di Melaka.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mencadangkan agar pihak kerajaan meneliti semula prosedur pemilihan kontraktor cabutan undi tersebut.

“Kerja-kerja yang ada sepatutnya dibahagi seberapa adil yang boleh dan telus agar setiap kontraktor mendapat peluang.

“Saya yakin dengan pengumuman pelaburan yang masuk ke Negeri Melaka, bermaksud kerajaan mempunyai kemampuan untuk mewujudkan peluang kerja bagi mereka,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penangguhan di DUN Melaka, hari ini. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -