Ada jelapang padi tetapi tiada beras tempatan

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) membangkitkan lambakan beras import berbanding beras tempatan dalam pasaran di negara ini pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

- Advertisement -

Biarpun Malaysia merupakan salah satu negara yang mengeluarkan beras, namun beliau sedih kerana makan ruji itu sukar didapati daripada hasil titik peluh petani dan rakyat disajikan dengan beras yang dibeli dari negara luar bagi memenuhi permintaan.

“Hari ini sukar untuk dapatkan beras tempatan di pasar dan kedai runcit, walaupun kita juga mengeluarkan padi setiap tahun dan kawasan saya, Bagan Serai juga salah satu jelapang padi negara kita tetapi malangnya di sini juga tidak ada beras tempatan.

“Yang ada di pasaran ialah beras import, ini pelik, yang sedikit ada iaitu import tiba-tiba yang banyak itu tidak ada, saya harap pihak berkuasa buat pemantauan ke mana padi-padi kita dibawa dan dijual pasal beras tempatan tidak ada di pasaran kita,” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

.

Idris yang juga Naib Presiden PAS turut mengutara cadangan bagi mengelakkan pesawah padi tempatan ‘tidak selera’ menanam padi, kerajaan perlu mengambil langkah antara meningkatkan pengeluaran varieti tinggi, tahan kemarau, banjir dan serangan penyakit.

Selain itu, ujarnya memberi galakan kepada para pesawah supaya menggunakan teknologi terkini termasuk penggunaan kecerdikan buatan (AI) kerana kemampuan memberi cadangan lebih baik seperti masa penanaman, penggunaan baja dijangka mampu meningkatkan pengeluaran padi.

“Melalui bajet tahunan kerajaan perlu meningkatkan nilai subsidi racun kepada RM40 semusim dan memperkenalkan pelbagai insentif selain memperkukuhkan peranan Pertubuhan Peladang membekalkan baja, racun, jentera, mesin padi untuk memerangi kartel padi.

“Kerajaan juga mestilah mengawal penggunaan racun yang telah diharamkan bagi mengelakkan perosak dan penyakit menjadi resistan serta agensi kerajaan perlu memastikan penggunaan racun mengikut dos ditetapkan dan penggiliran penggunaannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -