Syariah: Gesa pinda Perlembagaan Persekutuan

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasa dan memartabatkan sistem perundangan syariah di negara ini, kata Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).

- Advertisement -

Menurutnya, selain itu untuk mengelak konflik berterusan antara bidang kuasa mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Beliau berkata, masalah antara dua institusi itu pernah berlaku di Selangor dan Kelantan walaupun kenyataan kerajaan pernah mengakui enakmen jenayah syariah di negeri-negeri masih lagi sah dan berperlembagaan.

“Ianya boleh dikuatkuasakan selagi peruntkkan peringkat negeri tidak dicabar dan diisytiharkan sebagai tidak sah.

“Pandangan saya adakah kita mahu tunggu ianya dicabar, kita tidak boleh menunggu sahaja enakmen di negeri-negeri ini dicabar satu persatu. Langkah proaktif perlu diambil terlebih dahulu.

“Persoalan saya jika situasi ini berlaku, apakah tindakan responsif yang bakal dilakukan,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Naib Presiden PAS itu turut mengemukakan cadangan sebagaimana yang pernah diutarakan oleh pakar perundangan syariah di negara ini dengan membuat pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan khususnya berkaitan Akta Mahkamah Syarikat atau Akta 355.

Beliau berkata akta tersebut merupakan satu peraturan bagi menyeragamkan bidang kuasa kepada institusi mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana bidang kuasa kerajaan negeri bagi membicarakan hukuman di bawah kesalahan dalam hukum syarak.

“Kajian pemindaan perlembagaan ini perlu menjurus kepada pemindaan perlembagaan yang dapat memberikan kuasa pengubalan kepada kuasa kerajaan negeri-negeri di negara kita ke atas apa sahaja kesalahan berkait perintah agama yang boleh diterima pakai.

“Saya yakin inilah langkah yang terbaik dalam mengharmonikan antara kuasa kerajaan negeri dan Perlembagaan Persekutuan, kerana memartabatkan perundangan syariah merupakan tanggungjawab semua pihak bukan diletakkan kepada kerajaan negeri sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -