Tiada kes tertunggak di Mahkamah Syariah Kelantan

Mohd Asri Daud. (FOTO: UPKN Kelantan)
- Advertisement -

KOTA BHARU: Empat kes perbicaraan di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan (JKSN) melibatkan masing-masing perceraian, kes Mal (harta), faraid dan jenayah tidak dianggap sebagai kes tertunggak, kerana ia masih dalam prosiding dan tarikh perbicaraan bagi kes-kes tersebut telah ditetapkan.

Perkara itu dijelas oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Daud ketika menjawab soalan Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) dalam sesi soal jawab Persidangan Kali Yang Pertama Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2024, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Menurut Asri, tarikh itu ditetapkan kerana melibatkan keputusan rayuan dan juga semakan di mahkamah.

“Secara dasarnya, tiada istilah kes tertunggak. Ia dinamakan kes-kes yang belum selesai.

“Sebagai contoh, bagi kes peRceraian di JKSN, masih terdapat 116 kes yang belum selesaikan dalam tempoh dua  tahun bermula tarikh didaftarkan iaitu bagi kes daftar tahun 2022 ke belakang,” katanya.

Tambah beliau, atas beberapa faktor lain seperti kes yang beza, tempoh yang agak lama ini terpaksa diambil apa lagi kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan serta memerlukan lantikan jawatankuasa pendamai.

Mengulas lanjut, Asri seterusnya memberitahu, banyak usaha yang telah dilakukan Mahkamah Syariah bagi mempercepatkan penyelesaian kes-kes perbicaraan tersebut.

“Antara usaha yang dilakukan adalah penyelesaian pertikaian melalui kaedah mediasi (perdamaian), menubuhkan unit pengurusan kes bagi memantau dan melicinkan cara perjalanan bagi kes perceraian yang berlaku.

“Selain itu, menetapkan KPI penyelesaian kes pembubaran perkahwinan yang perlu diselesaikan dalam tempoh tiga tahun serta melancarkan satu projek inovasi kreatif bagi menyelesaikan kes mut’ah,” ujarnya.

Tambahnya, bagi kes- kes lain seperti faraid yang kini berbaki sebanyak 158 kes (masih dalam prosiding) daripada 5,279 kes, manakala kes mal iaitu 2,589 (dalam prosiding) daripada 37,865 kes dan kes jenayah masih berbaki 1,739 (dalam prosiding) daripada 13,377 kes.

“Statistik tersebut membuktikan bahawa tidak ada sebarang lambakan kes yang masih belum diselesaikan dan ia melibatkan proses-proses munasabah sahaja di peringkat Mahkamah Syariah.” – HARAKAHDAILY 5/3/2024

- Advertisement -