MB Perlis deklamasi sajak, penutup Pesta Angin Timur

- Advertisement -

ARAU: Malam Genta Puisi di Pesta Angin Timur 2024 dimeriahkan lagi dengan deklamasi puisi oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Menurut Shukri, puisi itu hasil nukilan khas oleh seorang penulis, Ummi Kalsum Ismail kepadanya.

“Alhamdulillah malam tadi saya diberi peluang mendeklamasi puisi sempena Malam Genta Puisi di Pesta Angin Timur, 2024.

“Penulis maklum puisi ini khas ditulis untuk saya, insya-Allah moga Allah berikan kekuatan untuk terus memimpin negeri bertuah ini,” kata beliau di laman media sosialnya hari ini.

Puisi tersebut berjudul Aku dan Perlis, sebagaimana di bawah.

Jauh aku lontarkan pandangan di sawah yang luas terbentang,
Di kejauhan aku lihat ragam pak tani membanting tulang,
Adakala aku membuang pandang di tengah hiruk pikuk ramainya orang,
Di situ aku lihat ragamnya muda dan tua lalu lalang,
Negeri ini penuh dengan warna,
Negeri ini ada adat dan budaya,
Negeri ini penuh dengan seribu satu citarasa,
Damainya negeri ini, negeri Perlis yang aku dan kamu sayangi.

Adakala berkecah belahan jiwaku,
Adakala bergelodak rasa hatiku,
Ingin aku lihat negeri ini mendewasa dengan bahagia,
Saat aku menggalas sejuta rasa negeri ini di pundakku,
Ingin aku bawa seluruh negeri ini ke puncak jaya,
Ingin aku mengemudi selayaknya mengikut aturan Pencipta,
Terus gagah wahai rakyat negeri ini,
Segagah Banjaran Nakawan yang mengelilingi,
Teruskan menyimpul senyuman manis,
Semanis harumanis kurniaan buat rakyat Perlis,
Teruskan bersyukur dengan nikmat Tuhanmu,
Kerana dengan syukur itu kita akan bertambah akur.

Teruskan rajin menabur bakti wahai rakyat negeri ini,
Serajin si semut mencari rezeki,
Kecil bukan bermakna lemah,
Sedikit bukan bererti kalah,
Kita adalah kita yang akan menempa sejarah orang berhemah,
Negeri ini,
Tanah tumpah darahku,
Tempat mencurah keringat menabur khidmat,
Sanubariku melumat dalam keindahan yang damai.

Perlis ini,
Negeri bertuah kurniaan Yang Esa.

Pesta tahunan itu berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 1 hingga 3 Mac lepas di Kampung Lat Seribu, Tambung Tulang, Arau. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -