‘Menteri MOTAC tolong serius sikit’ – MP Masjid Tanah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  ‘Murai riuh mencari pasangan; Mencari pasangan di tebing tinggi; Minta serius sikit Menteri Pelancongan; Agar pelancong dan pendapatan negeri bertambah lagi’.

- Advertisement -

Demikian pantun oleh Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) sebagai luahan kebimbangan terhadap isu sedang berlaku di Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) pada masa kini. 

Menurut beliau, walaupun kerajaan telah mengumumkan bakal melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 2026, namun sehingga kini masih belum jelas perancangan daripada pihak MOTAC berkaitan kempen mega itu.

“Sampai ke hari ini, minta maaf cakap, saya tidak nampak apa-apa persediaan yang dibuat oleh kementerian untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia sebagai mana yang telah saya disebutkan tadi. 

“Sebaliknya kita dihidangkan dengan pelbagai kontroversi yang dicetuskan oleh Yang Berhormat Menteri,” ujarnya ketika ketika Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau turut mengimbau kempen Tahun Melawat Malaysia kali pertama tahun 1990 dengan tema ‘Fascinating Malaysia Year Of Festival’ di mana Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan mercu tanda terkenal di Kuala Lumpur telah dipaparkan sebagai logo rasmi. 

Tambah beliau, dalam program tersebut sebanyak 84 acara utama telah diadakan dan lagu ikonik ‘To Know Malaysia, Is To Love Malaysia’, nyanyian Allahyarham Dato’ Sudirman Arshad telah menjadi lagu tema dan masih diingati sehingga kini.

“Dan ia memberikan impak dan hasil kedatangan pelancong bertambah mendadak iaitu 7.4 juta pelancong berbanding 4.8 juta pelancong pada tahun 1989,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, kempen Tahun Melawat Malaysia yang diadakan pada tahun-tahun berikutnya iaitu pada tahun 1994 dan 2007 juga dirancang dengan baik serta menjadi kesinambungan Tahun Melawat Malaysia 1990.  

Kata Mas Ermieyati, banyak pihak ingin tahu mengenai misi dan juga visi Menteri MOTAC setelah dilantik menerajui kementerian itu terutama berkaitan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Kata beliau, Menteri terbabit perlu menjelaskan tema yang akan diperkenalkan dan perkara utama ingin ditonjolkan seperti mana program tersebut pada tahun 1990 dan tahun 2007, selain perlu menjelaskan punca tahun 2026 dipilih untuk program tersebut.

“Apakah tagline yang akan digunakan untuk menarik para pelancong asing datang beramai-ramai ke Malaysia dua tahun lagi? Berapakah target kemasukan pelancong pada tahun 2026? 

“Berapakah pendapatan yang bakal dikutip? Apakah sudah wujud logo rasmi, maskot dan lagu rasmi Tahun Melawat Malaysia yang digunakan sebagai bahan kempen utama?” soalnya. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -