Pelan Ekonomi Digital seiring kemajuan teknologi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sultan Muhammad V menyifatkan usaha kerajaan negeri merangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital 2030 seiring kemajuan teknologi masa kini.

- Advertisement -

Titah baginda pelan ekonomi tersebut diharap mampu mengurangkan jurang digital yang masih tinggi dalam pentadbiran di Kelantan.

Baginda turut berharap kerajaan negeri memberi perhatian kepada golongan belia bagi menceburkan diri dalam bidang usahawan dan kemahiran.

“Peluang perniagaan, latihan kemahiran serta pendekatan teknologi dan digital dalam perniagaan perlu diwujudkan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2024 hari ini.

Titah tersebut dibacakan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Baginda turut melahirkan rasa syukur kerana kerajaan negeri dan Persekutuan serius menyelesaikan masalah bekalan air melalui penyediaan dan penyaluran peruntukan secara khusus.

“Suka beta berkongsi antara projek bekalan air yang bakal dinikmati rakyat antaranya pembinaan Loji Rawatan Air di Kampung Manek Urai dan Laloh dan Kuala Krai.

“Pada masa yang sama pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) berkapasiti 500 juta liter sehari di Mukim Joh Machang juga antara usaha dibuat,” ujar baginda. – HARAKAHDAILY 4/3/2024

- Advertisement -