Keruntuhan khilafah: Muhasabah buat umat Islam

- Advertisement -

TARIKH 3 Mac setiap tahun pastinya menjadi hari yang sering diingati oleh umat Islam. Pada hari ini genaplah 98 tahun ketiadaan payungan khilafah kepada umat Islam seluruh dunia. Ironinya, sistem Khilafah telah dimansuhkan oleh orang Islam sendiri.

Khilafah Uthmaniyah lahir dari leluhur Osman El-Gazi (1258-1324) hanya bermula sebagai kerajaan kecil di wilayah Anatolia. Ia mula diiktiraf sebagai khilafah selepas tampuk kekhalifahan berpindah daripada Bani Abbasiyah (yang ketika itu di bawah lindungan kerajaan Mamluk Mesir) kepada kerajaan Uthmaniyyah. Situasi ini berlaku apabila kerajaan Uthmaniyah berjaya mengalahkan kesultanan Mamluk di Mesir pada tahun 1517.

- Advertisement -

Bermula tarikh ini, khilafah Uthmaniyah mengorak langkah dan strategi ampuh dengan meluaskan kuasa dan pengaruh kepada kerajaan-kerajaan sekeliling. Kemuncak peradaban bagi khilafah Uthmaniyah sebenarnya berlaku pada era kerajaan Uthmaniyyah belum mendapat gelaran khalifah lagi. Perkara ini dibuktikan menerusi kejayaan Sultan Mehmet II (Al-Fatih) yang berjaya membuka Konstantinopel seterusnya menjadi individu yang membenarkan hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud.

“Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis Musnad Ahmad)

Namun, sepertimana dibicarakan oleh tokoh sejarah dan peradaban umat Islam iaitu Ibnu Khaldun, setiap peradaban pasti mengalami kitarannya.

Kesultanan Uthmaniyah yang berkuasa selama 600 tahun juga tidak terkecuali. Ia mula menghadapi zaman kemerosotan selepas kegagalan Uthmaniyah menakluk jantung Eropah yakni Vienna serta kemangkatan Sultan Selim. Susulan peristiwa ini, satu demi satu cabaran mengetuk pintu Khilafah Uthmaniyah sehinggalah pemansuhannya pada 1924.

Tidak berguna andai bernostalgia semata-mata tanpa kita sebagai orang Islam cuba untuk mengambil pengajaran sebagai bekalan untuk kita bangkit menyusun semula kekuatan umat.

Antara punca-punca dapat dikenal pasti sebagai faktor mula merosotnya payung umat ini adalah:

1) Faktor dalaman

i) Kerajaan Turkiye Uthmaniyah mula ketinggalan dalam banyak sudut seperti ekonomi, sosial, sains dan keilmuan serta politik. Contohnya, dalam cabaran perkembangan bidang teknologi, Uthmaniyyah cuba melakukan pembaharuan terhadap sistem pendidikan dengan memperkenalkan institusi kemahiran seperti Universiti Teknikal Istanbul dan lain-lain. Namun begitu, mereka tetap tidak dapat untuk menandingi kemajuan teknologi yang telah meletus di Barat.

ii) Selain itu, kerajaan Uthmaniyyah turut berhadapan cabaran proses modenisasi. Bagi menghadapi ancaman dan kebangkitan negara-negara pesaing seperti negara Eropah, khilafah Turkiye Uthmaniyah telah melancarkan gerakan Tanzimat yakni proses modenisasi sistem khilafah Turkiye Uthmanniyah. Tanzimat merupakan siri-siri pembaharuan dan reformasi sistem pentadbiran khilafah yang bermula secara formalnya menerusi pengisytiharan The Imperial Rescript of the Rose Chamber pada 1839. Ia merupakan permulaan secara rasmi bagi Tanzimat yang bermula pada era pemerintahan Sultan Abdul Majid I pada tahun 1839. Ia juga penanda penting perubahan sistem pentadbiran kepada sistem yang lebih sekular. Pengenalan Tanzimat adalah berobjektifkan mewujudkan sistem pentadbiran yang lebih sistematik dan sesuai dengan pengedaran zaman. Namun sayang perkara ini meleset.

iii) Kebangkitan semangat nasionalisme berteraskan bangsa juga telah menyebabkan Kerajaan Uthmaniyyah tidak mampu untuk mengendurkan konflik dalaman negara.

Satu demi satu wilayahnya menuntut untuk bebas dan keluar dari pemerintahan Uthmaniyyah. Ini termasuk dalam kes wilayah Arab di Hijjaz yang mana pemimpinnya pada waktu tersebut Sharif Husin telah ditawarkan dengan takhta pemerintahan sebagai ganti kepada pemberontakan untuk bebas dari Uthmaniyyah. Namun siapa sangka, perjanjian Sharif Husin dengan Mc Mohan di Mesir telah dipandang sebelah mata oleh pihak British. British telah mempersendakan intelek masyarakat Arab apabila berjaya mempergunakan orang Arab untuk memburukkan kestabilan wilayah Khilafah Uthmaniyah.

2) Faktor luaran

Antara permulaan kepada kemerosotan Uthmaniyah ialah kekalahan Turkiye Uthmaniyah untuk menguasai Vienna (1683) dan juga penglibatan mereka dalam peperangan yang menelan belanja yang besar. Mereka turut mengalami kekalahan dalam siri-siri peperangan yang lain di Eropah. Antara peperangan yang dilalui adalah peperangan menentang Poland-Lithuania, Rusia dan Austria-Hungary.

Antara perang yang memberi kesan signfikan kepada kerajaan Uthmaniyyah adalah perang dengan Empayar Rusia yang berlangsung hampir 3 abad. Perang tersebut bermula dari kurun ke-17 hingga kurun ke-19. Perang yang berlarutan amat panjang ini telah memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan kerajaan Uthmaniyyah.

Kemenangan yang didambakan kerajaan Uthmaniyyah telah dibalas dengan kekalahan yang amat memeritkan sehinggakan proses ini merugikan pemerintahan Uthmaniyah lantaran kos persenjataan yang amat tinggi.

Pada era ini juga, empayar Uthmaniyyah terpaksa berhadapan dengan cabaran hebat untuk berdepan dengan kebangkitan kerajaan Eropah khususnya dari kalangan Kristian. Serangan-serangan dari kerajaan Eropah mulai rancak akibat kebangkitan negara Eropah yang mula menentang hegemoni Uthmaniyyah. Namun dalam tempoh ini juga pihak Uthmaniyyah banyak terlibat dalam pakatan bersama negara Eropah lain dalam membentuk kerjasama pertahanan negara.

Masih banyak faktor lain yang menjadi punca kepada kejatuhan Khilafah Islam Turkiye Uthmaniyah, namun ini antara yang boleh kita perhatikan.

Pengajaran

Banyak pengajaran yang boleh kita cermati daripada kejatuhan khilafah Uthmaniyah. Namun antara yang besar dan utama pada pandangan saya adalah kepentingan pengurusan negara serta pengurusan konflik dalaman yang cekap dan cermat. Tindakan Uthmaniyah menyertai perang berpanjangan dan siri konflik bersenjata dengan wilayah-wilayahnya telah memaksa Khilafah menanggung beban ekonomi yang amat besar. Natijah daripada merosotnya ekonomi Khilafah Turki, membawa kepada masalah berantai lain seperti masalah sosial dan konflik politik. Maka sayugia bagi orang Islam dan pemimpin Islam untuk mewujudkan sistem pengurusan negara yang cekap serta mengutamakan penguasaan ilmu dunia dan akhirat.

Selain itu, pelaksanaan sistem pendidikan sekular telah mendorong salah laku dan kemerosotan dalam nilai-nilai agama dan kehidupan. Kita dapat saksikan pindaan perlembagaan Kesultanan Uthmaniyah ekoran pelaksanaan Tanzimat telah membawa kepada elemen memisahkan nilai agama dalam urusan kehidupan seharian umat.

Meskipun Tanzimat secara asasnya bertujuan meningkatkan kecekapan pentadbiran Uthmaniyah, namun dalam aspek pendidikan tampaknya hal yang sebaliknya berlaku apabila peranan ulama dalam sistem pendidikan Turkiye dipisahkan. Pendidikan kepada orang Islam hendaklah sesuai dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi namun dalam masa sama tidak boleh mengabaikan pendidikan agama yang asas seperti ilmu asas fardu ain, bacaan al-Quran dan pembelajaran akhlak.

Dek pengabaian inilah resapan anasir luar yang merosakkan pemikiran dan norma hidup masyarakat Islam mula menular tanpa sedar seperti berlaku di Turkiye apabila suburnya amalan rasuah dan lahirnya golongan sekularis Young Turk.

Akhir sekali, pentingnya kesatuan dalam kalangan umat Islam untuk mempertahankan agama dan kesucian Islam. Khalifah Uthmaniyah serta khalifah terdahulu semestinya ada kekurangan. Namun, peranan mereka dalam menjadi penyatu dan pemimpin umat Islam telah berjaya membawa kepada zaman kegemilangan umat Islam. Tindakan wilayah naungan Uthmaniyah yang menentang khilafah kerana terpengaruh dengan ideologi Nasionalisme adalah sebuah peristiwa yang tidak wajar berulang.

Atas faktor kesatuan berpaksikan satu aqidah ini lah, kita sebagai umat Islam mampu mendepani cabaran dari musuh Islam serta hak kita tidak ditindas. Meskipun mempunyai perbezaan pendapat, cara kerja dan warna kulit, kita perlu sedar, sesungguhnya umat Islam itu adalah bersaudara.

Sesungguhnya kunci kepada kebangkitan semula payung umat Islam adalah perpaduan orang Islam terlebih dahulu. Sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W, baginda menegakkan negara Madinah, dengan menyelesaikan dahulu kesatuan sesama umat Islam sepertimana bersatunya Aus dan Khazraj.

Apakah umat Islam di seluruh dunia dan Malaysia memahami akan hakikat ini? Dalam konteks negara Malaysia serta mana-mana negara Islam lain, sewajarnya nilai kesatuan dan persaudaraan Islam menjadi objektif utama orang Islam buat masa sekarang.

Sebagai kesimpulan, hakikatnya kejatuhan khilafah Uthmaniyah bukanlah kesalahan Mustafa Kamal Atartuk seorang. Akan tetapi jatuhnya sistem khilafah kerana umat Islam mencari kemuliaan selain daripada Islam. Oleh sebab itu, kita perlu muhasabah kembali tindakan dan pemahaman yang kita pegang selama ini. Umat memerlukan khilafah yang menyambung rantai perjuangan Nabi Muhammad S.A.W. Adalah tidak cukup kita sekadar menjadi Islam, namun pentingnya kita mengamalkan Islam sebagai addin yakni satu cara hidup yang lengkap.

Semoga Allah kurniakan kekuatan buat kita semua. – HARAKAHDAILY 3/3/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -