Penjimatan sektor kesihatan beri kesan kualiti hidup rakyat

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan Kerajaan Madani berhubung isu discaj semua pesakit dalam kalangan penjawat awam dan pesara daripada Institut Jantung Negara (IJN) telah menimbulkan beberapa persoalan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berkata alasan yang diberikan oleh pesakit dan pesara adalah kerana kerajaan terlalu ghairah mengurangkan kos tanpa memikirkan implikasi kepada rakyat secara menyeluruh.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dimaklumkan secara rasmi kepada umum kerana kesannya akan dirasai oleh rakyat sendiri.

“Apakah kewajaran melaksanakan dasar pukul rata kepada semua pesakit pesara yang berstatus ‘stabil’, sedangkan tidak semua pesakit mempunyai komplikasi dan keadaan yang sama kerana memerlukan pemantauan dan rawatan berkala daripada pakar.

“Seterusnya, tidak semua pusat jantung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kepakaran yang sama, ditambah pula dengan faktor kesibukan sedia ada serta isu stok ubat.

“Tindakan tersembunyi oleh Kerajaan Madani dilihat akan semakin menyukarkan operasi harian mereka,” katanya dalam suatu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, menggesa kerajaan untuk memberikan penjelasan tuntas kepada rakyat tentang tindakan yang telah dibuat.

“Penjimatan adalah satu langkah yang wajar, akan tetapi berjimatlah pada aspek yang sepatutnya bukan pada sektor kesihatan yang memberi kesan kepada kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024

- Advertisement -