Naratif sekunder pisahkan agama dari undang-undang

Yusfarizal Yussoff
- Advertisement -

Melihat kepada polemik tentang undang-undang syariah kebelakangan ini, kita perlu mengenal pasti apakah naratif utama umat Islam di negara ini. Apakah yang diinginkan oleh umat Islam di Malaysia?

Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, undang-undang syariah Islam telah didaulatkan.

- Advertisement -

Undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-Undang 99, Undang-Undang Johor yang diceduk daripada Majallah Al-Ahkam, Undang-Undang Kedah Ku Din Ku Meh (Sultan Rijaludin Mohd Shah) 1893, dan pelbagai lagi.

Selepas kedatangan Inggeris pada tahun 1786, Inggeris telah cuba membawa masuk undang-undang mereka ke Tanah Melayu. 

Pada 1807, Mahkamah Agung (Supreme Court) pertama telah ditubuhkan di Pulau Pinang, dengan Sir Edmund Stanley dilantik sebagai Recorder (Hakim) pertama.

Menjelang 1937, Inggeris telah memperkenalkan Civil Law Enactment 1937 yang membawa masuk pemakaian undang-undang kelaziman Inggeris (English common law). 

Walaupun undang-undang Inggeris telah diperkenalkan, umat Islam masih mahu kepada undang-undang syariah, dan enakmen Islam seperti Prevention of Adultery Registration 1894 masih berkuatkuasa.

Melalui Ordinan Mahkamah 1948 pula, secara efektifnya, sistem Mahkamah Syariah telah ditolak keluar dari sistem kehakiman utama negara. Namun begitu sistem Mahkamah Syariah masih diteruskan. 

Sehinggalah pada tahun 1988, setelah pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan digubal dengan memasukkan Perkara 121(1A), Mahkamah Syariah di negeri-negeri diberikan bidang kuasa eksklusif yang tidak boleh dicampuri lagi oleh Mahkamah Sivil.

Sejarah ini jelas menunjukkan bahawa naratif utama umat Islam di Malaysia ialah masih terus-terusan mahukan sistem keadilan syariah ditegakkan.

Walaupun diasak oleh sistem kehakiman yang ditinggalkan oleh Inggeris yang secara senyap mahu melenyapkan sistem kehakiman syariah, desakan dan usaha pejuang-pejuang tanah air telah menyaksikan sistem kehakiman syariah masih berdiri sehingga hari ini.

Naratif utama inilah yang perlu terus didokong dan disokong. Hari ini, terdapat naratif-naratif sekunder yang dibawa sendiri oleh sesetengah golongan orang Islam. 

Ada golongan yang membawa naratif kiri iaitu sekularisme dan juga liberalisme, yang sengaja mahu memisahkan agama dengan aspek-aspek kehidupan yang lain termasuk undang-undang. 

Ada pula naratif ke kanan dengan pelbagai teori undang-undang yang belum dibuktikan.

Naratif-naratif sekunder ini seharusnya tidak mendapat tempat di negara ini, kerana umat Islam sangat jelas tentang naratif utamanya. 

Yakni, menerima sistem kehakiman yang sedia ada sebagaimana ditinggalkan Inggeris dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, namun meneruskan sistem kehakiman syariah yang mendaulatkan undang-undang syariah dengan kerangka yang betul dan diperkasa. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

- Advertisement -