Kenaikan SST tambah derita rakyat

Ustazah Nuridah Mohd Salleh
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia menggesa kerajaan agar meneliti semula pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, berkata kerajaan tidak seharusnya mengambil kesempatan kepada rakyat dengan pemberian bonus kepada penjawat awam dan memberi bantuan kepada rakyat.

Menurutnya, cara seperti itu kerajaan mengambil keuntungan daripada rakyat dengan menaikkan kadar cukai dari enam peratus hingga lapan peratus yang telah berkuat kuasa pada hari ini.

“Kerajaan tidak boleh berkiblatkan keuntungan semata-mata dengan menaikkan kadar cukai yang katanya negara bakal memperoleh hasil tambahan sebanyak RM3 bilion.

“Keadaan ekonomi yang sedia lembab dan kenaikan harga barang yang agak tinggi memungkinkan rakyat berjimat cermat dan kuasa membeli yang terhad.

“Walaupun kenaikan cukai tersebut tidak termasuk barang keperluan asas namun akan menimbulkan kesan domino, yang turut memberi kesan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya senarai yang terlibat dalam kenaikan cukai dalam kategori penyelia perkhidmatan lain adalah insurans dan takaful; servis kenderaan bermotor; perkhidmatan kereta sewa dan pandu, kereta sewa dan bas persiaran; perkhidmatan kurier; agen kastam dan pembersihan.

“Namun begitu, kenaikan cukai dalam kategori profesional pula adalah perakaunan; teknologi maklumat atau digital; dan perkhidmatan pengawal atau perlindungan (sekuriti),” ujarnya.

Tambah beliau, setiap syarikat pasti akan menaikkan harga barang yang menyebabkan kos meningkat yang akan memberi kesan kepada rakyat.

“Di saat rakyat bakal berhadapan dengan pembukaan sekolah dan umat Islam pula menghadapi bermulanya Ramadan, kenaikan harga barang sudah tentu menambahkan kesengsaraan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/3/2024

- Advertisement -