Demi bantu rakyat: Ahli parlimen jadi golongan B40

Sabri melakukan ziarah dan menyalurkan sumbangan kepada seorang pesakit di Kampung Batu 18, Guar Chempedak, Jerai, Kedah.
- Advertisement -

JERAI: Tanggungjawab menangani masalah kebajikan rakyat serta membantu golongan sasaran tetap dilaksanakan ahli parlimen pembangkang, walaupun ‘bertukar’ menjadi golongan B40.

Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit berkata, beliau tidak menolak ada dalam kalangan ahli parlimen menjadi golongan B40, susulan elaun yang diperoleh tidak berbaki selepas dua minggu penerimaan. 

- Advertisement -

“Ahli parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membantu rakyat khususnya dari golongan yang kurang berkemampuan, kerana  tiada peruntukan kewangan daripada pihak kerajaan persekutuan

“Dahulu, ketika kerajaan persekutuan ditadbir PN, semua libat urus dengan rakyat disertai agensi kerajaan dan keadaan itu dah jadi macam sebati. 

“Rakyat melihat wakil rakyat dan agensi kerajaan sebagai  memenuhi keperluan rakyat. sama ada baiki jalan, jambatan atau lain-lain,” katanya kepada HarakahDaily.

Menurut beliau, sistem demokrasi yang dilaungkan dahulu oleh pemimpin kerajaan sekarang ini tidak berlaku, sebaliknya hak ahli parlimen pambangkang dinafikan termasuk peruntukan mahupun penglibatan bersama agensi kerajaan.

“Sungguhpun begitu, kami (ahli parlimen pembangkang) teruskan juga kerja-kerja kebajikan membantu rakyat walaupun terpaksa guna duit sendiri,” ujar beliau.

Sabri menyatakan, wakil rakyat juga mempunyai komitmen lain dengan urusan kewangan berkaitan keluarga serta pembelanjaan yang perlu dibiayai. 

Beliau turut mengakui, mengakui bahawa situasi itu turut memberi kesan kepada dirinya sendiri.

“Namun, saya enggan mengalah, sebaliknya tetap turun padang menemui rakyat serta memberi sumbangan setakat mana termampu.

“Sepatutnya, peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang diteruskan sepertimana dilakukan oleh  kerajaan sebelum ini. 

“Janji-janji reformasi yang dilaungkan dahulu hanya janji-janji kosong. Dulu sebut, reformasi nak bagi sama rata dengan pembangkang tapi tidak ditunaikan. 

“Realitinya, rakyat sangat mengharap wakil rakyat berperanan, tolong rakyat dengan peruntukan dan sebagainya tetapi apa yang dilakukan kerajaan sekarang seolah-olah nak mengekalkan kuasa,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau yakin, rakyat bijak untuk menentukan pihak mana yang akan dipilihkan sebagai kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 16 (PRU16) nanti dan menolak pemimpin yang hanya memberi keutamaan untuk mengekalkan kuasa semata-mata. 

“Realitinya,  rakyat bersetuju ahli parlimen ditiadakan pencen susulan kehidupan mewah yang ditunjukkan oleh sebahagian ahli parlimen kerajaan.

“Sedangkan dalam masa yang sama, rakyat marhaen terhimpit dengan pelbagai masalah termasuk harga barang keperluan yang semakin meningkat pada ketika ini,” katanya – HARAKAHDAILY 26/2/2024.

- Advertisement -