BERSIH dan penyokong PH tolak kepimpinan PMX

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) semalam memberi gambaran penyokong Pakatan Harapan (PH) mula menolak kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia berlaku kerana kegagalan kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi yang dilaung-laungkan sebelum ini bagi mengubah pentadbiran negara.

- Advertisement -

Beliau tidak menolak kemungkinan tragedi ‘22 bulan’ pemerintahan PH akan berulang sekiranya kebebasan hak bersuara rakyat dalam media sosial disekat, pada masa sama kos hidup rakyat terus meruncing.

“Bila nak berlaku perubahan ini, Insya-Allah saya jangka mudah-mudahan tidak akan habis penggal ini, kalau tengok realiti ‘22 bulan’ PH dahulu memerintah pun, tiada ribut dan tiada taufan tiba-tiba kerajaan bertukar.

“Tetapi kali ini dengan tekanan rakyat dan BERSIH pun keluar kenyataan akan mengadakan demonstrasi ke Parlimen, BERSIH ini ‘core’ sokongan kepada PH, mereka pun mulai melahirkan rasa kecewa dengan kegagalan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan’ sempena Konvensyen PAS Kawasan Kubang Kerian di Rumantara Hall Pasir Tumboh, malam tadi.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Abdul Rahman Yunus; Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Mohd Asri Mat Daud; Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Zulkifli Husin dan kepimpinan PAS kawasan yang lain.

Media sebelum ini melaporkan BERSIH bakal berarak ke Parlimen dari Tugu Negara pada hari Selasa, 27 Februari ini bagi mendesak kerajaan melaksanakan perubahan legislatif dalam usahanya untuk melaksanakan kempen ‘100 peratus reformasi’.

NGO itu mahu meminta kerajaan menangani rasuah pentadbiran kerajaan termasuk isu melepas tanpa membebaskan (DNAA) membabitkan Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pembaharuan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sempena sidang Parlimen yang bermula pada 26 Februari sehingga 27 Mac depan, pihaknya juga berhasrat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri pada hari yang sama dengan memakai pakaian berwarna kuning atau hitam. – HARAKAHDAILY 25/2/2024

- Advertisement -