‘Ulat’ di KLIA terima padah

- Advertisement -

SEPANG: Anggota Stesen Penguatkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah membuat satu tangkapan kegiatan ‘ulat’ yang menawarkan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di Terminal 1 KLIA, di sini, semalam.

- Advertisement -

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi kenyataan, berkata pasukan operasi telah menahan pemandu teksi terbabit yang memandu kenderaan jenis Proton Exora juga akan disita untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati ‘ulat’ tersebut telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada satu orang penumpang bukan warganegara dengan kadar tambang sebanyak RM70 bagi perjalanan dari Terminal 1 KLIA ke Kota Damansara dan akan dibayar apabila tiba di destinasi.

“Mana-mana mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205 (1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243 (1) di bawah akta yang sama,” katanya.

Tambah beliau, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

“Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024

- Advertisement -