Nik Elin menang kes: Kerajaan Pusat harus bertanggungjawab

Wan Ahmad Fayhsal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan seharusnya bertanggungjawab atas kegagalan mencelah dan bersama-sama kerajaan Kelantan bagi mempertahankan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini amat mengecewakan dan membimbangkan serta melemahkan moral Dewan Undangan Negeri dalam menegakkan hukum Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

- Advertisement -

“(Perkara ini) juga memberikan impak signifikan terhadap kuasa dan peranan institusi Raja-Raja Melayu sebagai tiang penegak hukum dan perundangan Islam di negeri-negeri seluruh Malaysia.

“Keputusan hari ini juga bermakna sesiapa sahaja boleh pergi ke Mahkamah Persekutuan dan mencabar peruntukan undang-undang syariah negeri walaupun dia bukan individu yang terkesan atau mempunyai perintah tetap dalam kes berkenaan. 

“Isu perintah tetap ini dibangkitkan dalam Penghakiman Menentang oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abdul Rahman Sebli dalam penghakiman beliau hari ini,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu berkata, rakyat khususnya umat Islam turut berasa amat kecewa terhadap Kerajaan Persekutuan yang tidak mencelah dalam prosiding kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid walaupun telah berkali-kali didesak oleh PERIKATAN NASIONAL (PN).

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya boleh memainkan peranan penting dalam bersama-sama kerajaan Kelantan untuk turut sama menentang cabaran daripada Nik Elin.

“PN konsisten dari awal lagi mendesak agar Kerajaan Persekutuan bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mencelah dan mengambil bahagian di dalam kes ini untuk sama-sama mempertahankan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan. 

“Namun amat mendukacitakan (kerana) perkara tersebut tidak dilakukan. Sesungguhnya hari ini merupakan episod hitam ‘Black Friday’ untuk undang-undang syariah di negara kita,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam amat berdukacita dengan kedudukan dan situasi semasa perundangan Islam di Malaysia ekoran daripada keputusan mahkamah pada hari ini. 

Justeru, Armada menggesa agar suatu pindaan perlembagaan segera dilakukan bagi melindungi dan memartabatkan kedudukan undang-undang jenayah syariah di Malaysia.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -