Tunjukkan solidariti, hadir himpunan Selamatkan Syariah esok

Ustaz Imran Abdul Rahman
- Advertisement -

MASJID TANAH: Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman menyeru orang ramai agar bersama menghadiri perhimpunan Selamatkan Syariah di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya pagi esok.

- Advertisement -

Tambah beliau, perhimpunan itu adalah bagi mendengarkan keputusan Mahkamah Persekutuan Putrajaya berkaitan kes Nik Elin lawan Kerajaan Negeri Kelantan.

“Saya harap semua kita dapat hadir sebagai solidariti kita terhadap sesuatu yang saya sifatkan sebagai kecemasan dalam soal perundangan Islam akibat daripada kes ini.

“Kita harus sama-sama memberi isyarat yang jelas kepada mereka bahawa kita sangat tegas dalam mempertahankan perkara ini,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tambahnya, sekiranya keputusan itu tidak memihak kepada Undang-undang Syariah Negeri maka ia menjadi satu dukacita yang besar dalam sejarah agama Islam di negara ini.

Kata beliau, golongan liberal dilihat semakin berani mencabar Islam tanpa memikirkan tentang kesannya kepada perkembangan Islam itu sendiri.

“Kita sedih, yang bawa kes ini pun orang Islam. Tetapi apa makna Islam pada mereka jika mereka sanggup melakukan perkara ini,” ujarnya.

Beliau turut memohon agar semua umat Islam dapat berdoa dan bermunajat agar keputusan yang bakal dibuat oleh Mahkamah Persekutuan esok akan memihak kepada Islam. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -