‘Podcast’ murahan merosakkan generasi muda

Mardhiyyah Johari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ameerah Malaysia mendesak Kementerian Komunikasi Malaysia mengambil tindakan tegas terhadap pengendali siaran ‘podcast’ yang mengandungi kandungan negatif sebagai pengajaran kepada pengendali-pengendali yang lain agar lebih berwaspada dalam siaran mereka.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Ameerah Dewan Muslimat PAS Malaysia, Mardhiyyah Johari berkata, situasi yang tular tersebut amat dikesali, tambahan pula tetamu tersebut telah didakwa di mahkamah di bawah kesalahan persundalan atau pelacuran.

“Walau apa sekalikan tujuan di sebalik jemputan itu, sama ada sekadar mahu mempromosi siaran ‘podcast’ atau meraih jumlah tontonan. Ia tetap merupakan satu perbuatan yang tidak bermaruah dan tidak wajar dilakukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, terdapat pelbagai saluran ‘podcast’ yang mampu meraih tontonan yang tinggi dengan sajian topik yang baik serta tetamu jemputan yang tidak dipertikaikan kredibilitinya.

Kesali beliau, menjemput seseorang yang melakukan jenayah terhadap agama dan negara adalah satu perbuatan murahan dan tidak bertanggungjawab.

“Semua pihak harus bertanggungjawab memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kesejahteraan generasi muda khususnya wanita, termasuklah mengelakkan generasi ini dari dicemari normalisasi kerosakan agama dan moral.

“Golongan wanita mesti diselamatkan daripada pihak yang terang-terangan mengeksploitasi maruah wanita,” tambah beliau yang juga ADUN Pengkalan Kundor.

Generasi muda hari ini menurutnya, generasi yang mempunyai kemudahan akses pelbagai maklumat di hujung jari, justeru itu mereka tidak sewajarnya dicemari dengan kandungan murahan yang merosakkan. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -