‘Situasi kini semua pihak dalam keadaan terhimpit ekonomi’

Dato' Seri Hamzah Zainudin (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Kabinet memansuhkan pencen penjawat awam bagi pengambilan baru perjawatan bermula 1 Februari dipertikaikan Perikatan Nasional (PN).

- Advertisement -

Setiausaha Agung PN, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, isunya bukan penghapusan pencen untuk pegawai kerajaan mahupun ahli politik, tetapi adalah mekanisme sepatutnya diambil pihak kerajaan.

“Perkara yang paling penting ialah pastikan bahawa apabila anda melakukan sesuatu anda perlu memastikan anda bersedia untuk mengumumkan daripada hanya mengumumkan tanpa apa-apa persediaan,” bidas beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PN, di sini petang tadi.

Menurutnya, situasi kini adalah semua pihak dalam keadaan terhimpit ekonomi termasuk bekas-bekas Ahli Yang Berhormat yang telah pencen juga ada berada dalam status sebagai golongan B40.

Tegas beliau, Kerajaan sewajarnya melakukan mekanisme yang adil kepada semua dan paling penting menurut Perlembagaan.

Beliau juga menjawab soalan mengenai cadangan mencalonkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerana pemimpin itu dahulunya berundur disebabkan Umno atau Barisan Nasional menarik sokongan kepadanya.

“Dia masih mendapat peluang. Tak salah kita promosi dia lagi sebagai perdana menteri? Kenapa perlu tiba-tiba sekarang cakap yang kita ada orang lain sedangkan
beliau ialah Pengerusi PN Kebangsaan?” ujarnya.

Kenyataan tersebut sebagai beliau menyangkal tuduhan kononnya menolak Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon PM. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -