Sumayyah buktikan pelajar perempuan ada kelebihan

- Advertisement -

PADANG BESAR: Sumayyah Yaser Arafat, pelajar tahun enam Sekolah Rendah Islam At-Taqwa (SRIAT), mencipta sejarah dengan menjadi ketua pelajar pertama dari kalangan perempuan di sekolah tersebut.

- Advertisement -

Dengan sifat kepimpinan yang matang, Sumayyah dipilih untuk memegang amanah tersebut, memecah rekod sekolah dan membuktikan bahawa bakat tidak mengenal jantina.

Sebagai anak sulung perempuan, Sumayyah memperlihatkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan sahsiah.

Beliau tidak hanya menjadi johan dalam Pertandingan Kalam Arabi peringkat sekolah rendah negeri Perlis, tetapi juga mencapai keputusan cemerlang dengan 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada tahun lepas.

Tidak hanya itu, Sumayyah juga aktif dalam sukan, mewakili sekolah dalam pertandingan bola jaring dan catur peringkat negeri.

Ini membuktikan bahawa beliau merupakan contoh yang baik dalam mengimbangkan pencapaian akademik dan kecemerlangan dalam bidang kokurikulum.

Pengiktirafan terhadap pencapaian Sumayyah tidak terhenti di situ, pihak SRIAT telah menghargai usaha dan kejayaannya dengan menganugerahkan beliau sebagai penerima Anugerah Tokoh Murid sempena Ihtifal Idul Ilmi di Dewan SRI At-Taqwa, di sini hari ini.

Turut menerima pengiktirafan yang sama adalah Tawbah Nur Iman Rezqa dan Afif Nasrullah Mohd Fairus.

Mereka  juga mencapai kejayaan luar biasa dalam bidang akademik dan akhlak.

Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin (foto atas) di hadapan Mudir SRIAT, Ustaz Azamhari Mohamood, serta para pelajar dan ibu bapa.

Selain daripada pengiktirafan tokoh murid, penghargaan juga diberikan kepada tokoh kokurikulum dan murid mithali, menandakan sokongan dan penghargaan terhadap kepelbagaian pencapaian pelajar-pelajar berprestasi di SRIAT. – HARAKAHDAILY 8/2/2024

- Advertisement -