MENJADI kelaziman bagi mana-mana kerajaan baharu terpaksa menanggung hutang yang ditinggalkan kerajaan lama.
Situasi itu berlaku di mana sahaja termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah. Perkara serupa juga berulang di Perlis.
Mendedahkan perkara itu Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, hutang yang ditinggalkan kerajaan dahulu lebih RM300 juta.
“Lain-lain itu kita sedang tengok. Bagaimanapun alhamdulillah hutang projek perumahan rakyat kepada kerajaan Pusat sudah dilupuskan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri akan mendapat ganjaran yang besar dari Allah kerana melupuskan hutang penduduk di mana sebahagian mereka sudah meninggal dunia.
“Hutang kerajaan negeri kita sedang uruskan pembayaran secara berperingkat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya juga kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) meneruskan projek yang diusahakan kerajaan sebelum ini.
Antaranya Perlis Inland Port (PIP) dan syarikat yang mengendalikan projek tersebut mendapat pembiayaan Bank Pembangunan sebanyak RM374 juta.
Projek terbabit berjalan mengikut jadual. Kata Menteri Besar dijangka Julai atau Ogos hadapan projek Pelabuhan Sanglang juga akan diteruskan.
Selain itu perlombongan dolomite sedang distruktur semula kerajaan negeri. Di mana setiap pelombong mesti menjalankan usahasama dengan anak-anak syarikat kerajaan negeri.
“Perlu ada kilang di Perlis supaya dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda.
“Perlis mempunyai stok dolomite yang agak tinggi dan ia sedang diteroka. Sebelum ini syarikat swasta yang meneroka dan kerajaan negeri sekadar mendapat cukai sahaja.
“Tetapi sekarang kita nak anak-anak syarikat kerajaan negeri terlibat sama bagi mendapat hasil kepada negeri,” ujarnya.
Menurutnya juga pendekatan yang diambil kerajaan PN dipastikan tidak terlalu drastik supaya rakyat dapat menyesuaikan diri dengan suasana politik yang berlaku sekarang.
Haram premis judi
Perlis juga tidak ketinggalan berusaha memartabatkan lagi syiar Islam melalui bidang kuasa yang dibenarkan undang-undang.

Menurut anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Azmir Azizan, tahun 2024 menteri besar mengumumkan tidak menyambung lagi permohonan lesen premis judi.
Keduanya menjayakan kempen Haiyassolah (Jom Solat) dan ketiga, sambutan Tahun Baru diubah daripada konsep sebelum ini ada hiburan di mana kadang-kadang terbabas daripada garis panduan.
Namun tahun ini sebarang hiburan yang lalai tidak dibenarkan lagi.
“Kita ganti dengan alternatif menerusi sambutan tahun baru dan Aid For Palestin. Di bawah kempen Jom Solat, kita beri kesemua jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan streamer kempen.
“Di beberapa lokasi dipasang di billboard berkaitan keuntungan dan ancaman orang tidak sembahyang.
“Kita akan letak di bukit-bukit kecil di Perlis seperti signboard Jom Solat, Jom Zikir, Ya Allah Peliharalah Perlis supaya orang ramai nampak kempen tersebut,” katanya.
Kesungguhan kerajaan negeri bagi memastikan Perlis bebas judi berlesen tidak mampu dinafikan lagi.
Ia dibuktikan apabila rayuan pemilik premis judi untuk panjangkan tempoh lesen tidak dilayan kerajaan negeri.
Azmir berkata kerajaan negeri sudah memuktamadkan di mana lesen premis judi akan berakhir pada Mac 2024. Begitu juga tiada kedai menjual dan minum arak di premis yang sama di Perlis.
“Kalau ada jual pun di kedai ubat Cina, tetapi untuk jualan sahaja dan bukan untuk minum di kedai.
“Kita juga adakan perbincangan dengan Exco agama di empat negeri lain iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dari semasa ke semasa bagi bertukar pandangan,” tambahnya.
Beliau juga berkata, terdapat beberapa dokumen daripada kerajaan Kelantan dan Terengganu termasuk berkaitan Membangun Bersama Islam dan Enakmen Sukan dan Hiburan sedang diteliti.

Kata beliau kerajaan Perlis berusaha untuk memperhalusi dan memurnikan peraturan yang dilaksanakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk dipraktik di Perlis.
Kerajaan Perlis turut berusaha memperkasakan undang-undang syariah.
“Pada peringkat permulaan kita akan adakan perbincangan awal dengan individu yang pakar dalam bidang tersebut serta Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi PAS (LUHAM).
Mengulas perkembangan di Perlis di bawah kerajaan PN, bekas menteri besar Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim turut menyokong usaha tersebut.
Kata beliau langkah kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi perlu disokong rakyat Perlis tanpa mengira agama dan bangsa.
“Ketika saya menerajui Perlis sebelum ini, keutamaan diberi kepada bidang pendidikan di mana sekarang berjaya menghasilkan modal insan yang ramai dan berkualiti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/2/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!