Tidak pernah berlaku masalah perkauman di Terengganu

- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Meskipun Terengganu didominasi oleh Melayu Islam namun golongan bukan Islam dan Melayu di negeri ini hidup dalam satu komuniti yang aman dan damai.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, semua kaum yang ada di negeri ini saling hormat menghormati sekali gus menafikan tuduhan pihak tertentu bahawa orang bukan Islam terpinggir di Pantai Timur.

“Di Terengganu, tidak pernah berlaku masalah perkauman justeru semua rakyat dapat hidup bersatu menjayakan pelbagai aktiviti komuniti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Program Komuniti Rahmah Bersama Jentera Perpaduan Negeri Terengganu, di Dewan NGO, Kampung Pengkalan Ajal, di sini, kelmarin.

Mengulas tentang hubungan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, beliau berkata ia sentiasa berlangsung dalam keadaan harmoni atas semangat federalisme.

“Hubungan baik antara kedua belah pihak akan memberi banyak manfaat kepada rakyat terutama dalam memastikan kebajikan rakyat terbela serta sentiasa berada dalam keadaan harmoni,” katanya.

Ujarnya, kehadiran Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang amat bermakna kepada kerajaan negeri serta sangat dialu-alukan kerana ia secara tidak langsung menzahirkan hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berada di dalam keadaan baik.

“Kehadiran Menteri Perpaduan Negara hari ini telah dapat menceriakan masyarakat di sini melalui Program Komuniti Rahmah bersama Jentera Perpaduan Negeri Terengganu.

“Dengan jalinan kerjasama ini diharap akan berterusan untuk menjaga keharmonian supaya tiada berlaku pergeseran yang boleh mengakibatkan kerugian dan berlakunya rusuhan yang tiada sepatutnya berlaku di negara mahupun negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, Aaron berkata kehadiran itu merupakan lawatan sulungnya ke Terengganu.

“Saya ingin rakamkan jutaan terima kasih kerana Kelab Rukun Tetangga Kampung Pengkalan Ajal telah sudi menjadi tuan rumah bagi Program Komuniti Rahmah.

“Program ini adalah merupakan kluster ketiga di bawah program ‘flagship’ kementerian iaitu Kembara Pepaduan Melaysia MADANI yang telah dilancarkan pada 1 Mac 2023, selain daripada kluster Semarak Kenegaraan dan Semarak Perpaduan.

“Dirangka bagi membina komuniti yang sejahtera, mampan dan rahmah khususnya dalam KRT yang menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan dengan saling menghormati, mengasihi dan menghargai melalui penggemblengan usaha serta tenaga semua pihak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -