Kedah tubuh jawatankuasa khas semakan cukai tanah

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan pembentukan jawatankuasa khusus untuk membuat semakan cukai tanah di negeri ini, demikian maklum Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

- Advertisement -

Maklum beliau dalam sidang media, semakan cukai seperti itu sememangnya diadakan tiap-tiap sepuluh tahun memandangkan cukai tanah menjadi antara sumber pendapatan bagi negeri.

“Oleh kerana berlaku peningkatan kos pentadbiran semua ni kena ada semaklah. Daripada tahun 1994, waktu itu kita ada 80,000 milikan (geran). (Tetapi) Sekarang ni kita ada 830,000 geran.

“Tentulah (menjadi) keperluan, perlu ada peningkatan dan pentadbiran kepada tanah ni pun perlukan kos juga. Semakan itu pun perlukan kos juga. Jadi kita akan mulakan semakan pada tahun ni,” ujarnya di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Menurut Sanusi yang juga ADUN Jeneri, sebarang perubahan kepada kadar cukai akan berkuatkuasa tahun 2026 yang bermaksud semakan tersebut akan mengambil masa selama dua tahun.

Kedah antara negeri terawal menyediakan kemudahan semakan dan pembayaran cukai tanah secara atas talian dikenali sebagai iBayaq, selain turut juga diperluaskan kepada pembayaran cukai-cukai lain.

Dalam tiga tahun pentadbiran diketuai Sanusi, negeri ini mencatatkan rekod terbanyak iaitu kelulusan 7,233 suratan hak milik tanah, geran dan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada rakyat Kedah.

Dalam sidang media selepas Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, beliau turut memberi penjelasan terhadap beberapa isu berbangkit antaranya mengenai pembinaan Loji Rawatan Air dan isu tunggakan gaji pemain bola sepak Kedah.

Beliau selepas itu hadir ke Majlis Simbolik Penyerahan Hamper dan Wang Saguhati Sempena Sambutan Tahun Baru Cina kepada wakil-wakil kaum Tionghua. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -