Bantuan: Kerajaan negeri sokong inisiatif persekutuan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri meminta rakyat Kelantan agar terus mendaftar Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang dilancarkan oleh kerajaan pusat melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, menerusi kaedah tersebut banyak manfaat bakal diperolehi rakyat selepas pengumuman rasionalisasi subsidi oleh kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dan memberi sokongan terhadap apa sahaja inisiatif kerajaan persekutuan bagi menyalurkan bantuan kepada individu dan keluarga memerlukan.

“Hari ini saya menerima kunjungan daripada Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Negara, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan ini mengenai kepentingan mendaftar PADU.

“Kepentingan mendaftar PADU memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.

Hari ini, beliau menerima kunjungan daripada Ketua Perangkawan Negara, Dato’ Sri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Katanya, antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai PADU.

PADU yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu bagi meningkatkan kecekapan pengurusan yang memudahkan pengumpulan dan penyimpanan data pelbagai sumber.

Sehingga kini sebanyak 2.69 juta rakyat sudah membuat pendaftaran PADU di seluruh negara, Kelantan antara negeri yang merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi sejak sistem itu dilancarkan.

Daripada jumlah itu seramai 191,078 atau 15 peratus dari jumlah penduduk Kelantan sudah mendaftar, di samping Johor, Perlis, Selangor dan Sarawak turut mencatatkan jumlah pendaftaran yang tinggi. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -