Kenapa kerajaan masih izin konsert penyokong LGBT?

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Madani dilihat seperti masih selesa dengan penganjuran konsert artis Barat yang menyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.

- Advertisement -

“Ternyata pihak kerajaan masih selesa dengan penganjuran konsert membabitkan artis-artis luar negara yang menjadi penyokong tegar LGBT seperti Ed Sheeran ini terus dibenarkan di dalam negara kita,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian susulan kenyataan Kementerian Komunikasi mengenai penganjuran konsert Ed Sheeran pada 24 Februari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil masih boleh diteruskan walaupun telah dibantah oleh pelbagai pihak termasuk Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor.

Katanya, penganjuran konsert seperti itu adalah satu lagi khabar dukacita buat rakyat bahkan dikhuatiri membarah hingga menjadi satu normalisasi budaya LGBT terutamanya dalam kalangan golongan muda. 

Selain itu, ujarnya waktu penganjuran konsert yang sudah tidak jauh dari tarikh bulan Ramadan menunjukkan ketidaksesuaian diadakan.

Tambahnya, waktu tersebut sepatutnya sudah menjadi tempoh persediaan terakhir bagi warga beragama Islam untuk mempersiapkan diri bagi menyambut bulan ibadah.

Sesungguhnya, kata beliau agama Islam tidak melarang aktiviti hiburan dalam kalangan rakyat beragama Islam kerana ia merupakan sebahagian daripada fitrah manusiawi.

Namun, jelasnya ada batasan dan sekatan yang memastikan aktiviti hiburan itu hendaklah berlandaskan kawalan syariat bagi memelihara maruah individu yang mahu berhibur tersebut.

“Saya berharap Kementerian Komunikasi mengambil tindakan tegas dengan membatalkan konsert tersebut bagi memastikan tiada elemen negatif menjangkiti minda warga muda negara kita,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -