Langkawi pulau kesembilan terbaik di dunia

- Advertisement -

LANGKAWI: Pengiktirafan Langkawi sebagai salah satu daripada 10 pulau terbaik di dunia, bukan sahaja membanggakan penduduk pulau itu sebaliknya rakyat Kedah keseluruhannya.

- Advertisement -

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, anugerah itu adalah satu pengiktirafan dunia kepada Langkawi dan Kedah.

Menurutnya lagi, anugerah Pulau Kesembilan Terbaik di Dunia 2023 ini diberikan oleh majalah pelancongan antarabangsa (Travel + Leisure).

“Alhamdulillah, pengiktirafan World’s Best Award 2023 oleh pembaca majalah tersebut akan membuka ruang kepada lebih banyak pengiktirafan dunia terhadap Langkawi.

“Pengiktirafan ini bukan kepada Pulau Lagenda ini tetapi juga kepada negeri Kedah sendiri,” kata beliau, di sini.

Justeru ujarnya, penduduk Langkawi wajar berbangga kerana skor 93.65 itu merupakan yang terbaik apatah lagi majalah berkenaan merupakan antara yang sangat berpengaruh dalam sektor pelancongan.

Dalam pada itu beliau mengharapkan, pencapaian terbaik Pulau Mahsuri itu akan merancakkan lagi sektor pelancongan dan perancangan negeri untuk menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025.

Beliau ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Program Mikio Trip Langkawi 2024 pada 2 Februari lalu mengucapkan tahniah kepada semua komuniti di Langkawi sama ada agensi persekutuan mahupun negeri, termasuk pemain industri pelancongan yang sentiasa memberi sokongan dan menyumbang menjadikan pulau itu bertaraf percutian antarabangsa.

Majalah Travel + Leisure yang berpangkalan di New York diterbitkan sejak 1937 dan mempunyai jumlah pembaca melebihi 4.8 juta di seluruh dunia.

Sementara dalam perkembangan lain, beliau menyarankan Program Mikio Trip Langkawi 2024 wajar dicontohi syarikat lain kerana ia bukan sahaja merancakkan pelancongan Langkawi, malah mempromosi pelancongan tempatan.

Program anjuran Mimi Suri Heritage Sdn Bhd, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan itu, disertai lebih 300 ejen jualan syarikat termasuk dari Thailand untuk bercuti di Langkawi.

“Perkembangan ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam menjayakan Tahun Melawat Kedah 2025 malah diharapkan lebih banyak syarikat tempatan atau luar Kedah  mengambil inisiatif mengadakan program dalam negeri, terutamanya di Langkawi,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -